Emery pelik Villa persiakan dua gol awal
PENGENDALI Aston Villa, Unai Emery mengakui buntu memikirkan kelebihan dua gol gagal dimanfaatkan tuan rumah ketika diikat 3-3 Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Birmingham.
Perlawanan yang berlangsung di Villa Park itu, angkatan Emery terlebih dulu memimpin separuh masa pertama hasil sentuhan Ollie Watkins (m-38) diikuti jaringan separuh masa kedua Morgan Rogers (m-48) bagi mengatasi The Bees.
Bagaimanapun Brentford yang dijanakan Thomas Frank kembali bangkit dengan tiga gol Mathias Jorgensen (m-38), Bryan Mbeumo (m-59) dan Yoane Wissa (m-61) sebelum Watkins muncul menyelamatkan maruah tuan rumah dengan jaringan penyamaan minit ke-80.
“Pada minit ke-50 kami kehilangan semua hasil usaha yang kami lakukan. Tetapi dalam 20 minit terakhir kami pulih. Saya agak kecewa tetapi pada masa yang sama berusaha memahami dan menganalisis pada minit ke-50 mengapa kami dibolosi tiga gol.
“Ia benar-benar pelik, kami perlu menganalisis. Secara taktikal ia adalah bagaimana kita boleh menguruskan detik itu dengan lebih baik, kerana ia bukan hanya satu kesilapan.
“Ya, sudah tentu ini adalah Liga Perdana, jika anda hilang kawalan atau fokus, mereka akan menjaringkan gol. Mereka menakjubkan dalam masa sembilan minit menjaringkan tiga gol. Mereka juga klinikal,” kata Emery yang pernah mengendali kelab sensasi Arsenal bermula 23 May 2018 hingga 29 November 2019.
Keputusan itu meletakkan Villa di kedudukan keempat dengan 60 mata selepas mengharungi 32 perlawanan, tiga mata di depan Tottenham Hotspur yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!