'Sepanjang dalam penjara tak senang duduk fikir nasib anak'

Isa berkongsi keterujaannya untuk menyambut Aidilfitri bersama anak tunggal perempuannya kepada Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Sazeli Mohd Noor pada Program Pelepasan OBB di PPA Machang pada Ahad.
Isa berkongsi keterujaannya untuk menyambut Aidilfitri bersama anak tunggal perempuannya kepada Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Sazeli Mohd Noor pada Program Pelepasan OBB di PPA Machang pada Ahad.
A
A
A

MACHANG - Seorang prospek yang dibebaskan secara berlesen menerusi Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) dari Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini pada Ahad sudah tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri dan memohon maaf kepada anak perempuan tunggalnya.

Lelaki berusia 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Isa mendedahkan sepanjang meringkuk dalam penjara dia tidak senang duduk memikirkan nasib anaknya berusia 15 tahun itu.

"Saya dan isteri telah lama berpisah. Sejak itu ke mana sahaja saya pergi mesti bawa dia bersama.

"Sehinggalah Oktober tahun lalu saya ditangkap kerana mencuri di bengkel kereta. Semasa kejadian itu, dia ada bersama saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Pelepasan OBB di PPA Machang di sini pada Ahad.

Menurutnya, tindakan mencuri itu terpaksa dilakukan kerana terdesak untuk memastikan anak perempuannya itu tidak kelaparan.

Ujar Isa, tindakan kali pertama itu membawa padah apabila dia dicekup.

Dakwanya, gaji sebagai tukang cuci tidak mengcukupi pada ketika itu sehingga memaksanya memberanikan diri untuk mencuri.

"Saya terdesak perlukan duit untuk anak, sampai terlupa perbuatan mencuri itu salah.

Artikel Berkaitan:

"Lebih terkilan saya bawa anak bersama ketika melakukannya," katanya.

Menurut Isa, selepas dia dipenjarakan anaknya itu ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.

Tambahnya, sehingga sekarang dia rasa bersalah terhadap anaknya itu kerana terpaksa meninggalkannya sendirian.

Isa sepatutya dibebaskan pada Julai depan namun terpilih sebagai prospek yang dibebaskan secara berlesen menerusi Program Perlepasan OBB.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat. Diharap saya boleh berjumpa anak dengan segera kerana sudah tidak mampu untuk menanggung rindu lagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!