Dua anggota Maritim Malaysia cedera, kejadian berbalas tembakan di Kunak

Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak pada 8.30 pagi Ahad.Gambar hiasan
Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak pada 8.30 pagi Ahad.Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak pada pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Salah seorang anggota Maritim Malaysia yang cedera di bahagian mata selepas berlaku kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak.
Salah seorang anggota Maritim Malaysia yang cedera di bahagian mata selepas berlaku kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak.

Sementara itu, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan berkata, kedua-dua anggotanya itu berada di dalam bot Banggi 48 bagi menjalankan Op Khas Pagar di perairan tersebut.

No Image Caption

Menurut beliau, berdasarkan laporan awal, terdapat tiga suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan tembakan ke arah bot Banggi 48.

"Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik pasukan peronda cuba menghampiri, suspek bertindak melepaskan empat das tembakan bagi mengelak daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

"Ketika kejadian. berlaku pergelutan semasa berbalas tembakan sehingga menyebabkan kecederaan pada dua anggota Maritim tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kesan tembakan pada bot Banggi 48 dalam Ops Khas Pagar di perairan Kunak.
Kesan tembakan pada bot Banggi 48 dalam Ops Khas Pagar di perairan Kunak.

Katanya lagi, suspek meloloskan diri dengan memecut bot tersebut beredar dari lokasi kejadian.

"Berikutan kejadian itu, Maritim Malaysia telah menggerakkan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini serta mengesan kesemua suspek terlibat.

"Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!