Rundingan gencatan senjata Gaza disambung di Kaherah
KAHERAH - Rundingan untuk mendapatkan satu gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bersambung di Kaherah pada Ahad.
Menurut Agensi Anadolu, stesen penyiaran swasta Mesir Al-Qahera News melaporkan perkara ini pada Sabtu memetik "sumber Mesir peringkat tinggi'’ yang tidak dinamakan sementara tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Mesir setakat ini.
Sumber itu berkata, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) Bill Burns, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan seorang wakil dari Israel juga menyertai rundingan itu.
Seorang wakil kanan daripada Kumpulan Hamas yang berpangkalan di Gaza juga dijangka tiba di Kaherah atas jemputan Mesir untuk membincangkan perkembangan berkaitan gencatan senjata di Gaza, menurut laporan itu lagi.
Pada Jumaat, seorang pegawai pentadbiran AS berkata, Presiden Joe Biden baru-baru ini mengutus dua surat khas kepada Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mengenai usaha untuk menyegerakan rundingan gencatan senjata itu, kata media AS, lapor Agensi Anadolu.
Israel telah melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lepas dengan lebih 33,100 rakyat Palestin maut dan lebih 75,800 cedera selain kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan.
Israel juga mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduknya terutama di bahagian utara mengalami kelaparan.
Serangan Israel telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut dengan 60 peratus daripada infrastruktur di sana rosak atau musnah,menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang pada minggu lepas mengarahkannya untuk meningkatkan usaha bagi mengelakkan kebuluran di Gaza. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!