Reman lelaki Israel disambung 7 hari - KPN
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Israel yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru disambung reman selama tujuh hari bermula Ahad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, reman terhadap Shalom Avitan, 38, disambung selepas tempoh tahanan reman ke atasnya sebelum ini berakhir pada Ahad.
"Permohonan sambung reman terhadap Shalom dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan secara terperinci.
"Kita masih memerlukan sedikit masa dalam mengumpulkan segala bukti kukuh berkaitan suspek utama (Shalom) dan pasangan suami isteri warga tempatan yang turut disambung reman pada Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, polis masih meneliti motif dan tujuan utama Shalom memiliki senjata api terbabit.
"Selain itu siasatan juga masih dibuat terhadap kesemua 15 individu yang masih ditahan termasuk Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan terbabit," katanya.
Beliau berkata, salah seorang suspek berperanan sebagai pemandu kepada Shalom yang ditahan di Cameron Highlands pada 29 Mac lalu, sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.
"Secara keseluruhan, jumlah individu yang ditahan pada masa ini adalah seramai 15 orang termasuk dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia," katanya.
Pada 27 Mac lalu, Shalom warga Israel yang memiliki pasport Perancis ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan awal oleh pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Suspek itu disyaki merancang membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru.
Susulan soal siasat ke atas Shalom, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu.
Pasangan itu disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol dalam beg sandang dalam kereta pasangan terbabit di kediaman mereka di Kuala Selangor
Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini terdiri dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.
Kesemua mereka disiasat kerana terbabit dalam pengedaran senjata api yang dirampas, terbabit dalam aktiviti pembayaran wang kripto untuk urusan pembelian senjata serta kesalahan-kesalahan berkaitan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!