Rokok seludup RM4.1 juta dirampas menjelang Aidilfitri

Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas.
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas.
A
A
A

KOTA BHARU - Menjelang Aidilfitri kurang tiga hari lagi, polis Kelantan mencatat kejayaan besar dengan rampasan rokok seludup bernilai lebih RM4.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah treler di Jalan Sultan Ismail, Langgar, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, serbuan dan pemeriksaan terhadap kontena bermuatan 48 tan itu dibuat pada jam 7.50 pagi.

Beliau berkata, pemandu berusia 29 tahun dan kelindan yang berusia 38 tahun turut ditangkap untuk siasatan lanjut.

Sebelum itu, Pasukan Polis Marin mengesan sebuah bot yang mencurigakan memasuki perairan Tumpat pada jam 4 pagi.

“Pemerhatian seterusnya dilakukan ke treler kontena Jenis Volvo FM13 yang mencurigakan dipandu dari arah Wakaf Bharu, Tumpat menghala ke Kota Bharu.

“Pasukan polis menahan treler terbabit untuk pemeriksaan sebelum menemukan kotak-kotak mengandungi 27,350 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM4.1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Peringat, di sini, pada Ahad.

Treler kontena bermuatan 48 tan digunakan untuk membawa rokok seludup.
Treler kontena bermuatan 48 tan digunakan untuk membawa rokok seludup.

Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan itu atau hanya bertindak sebagai penghantar barang.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki memberitahu, berdasarkan siasatan awal, rokok-rokok terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dengan menggunakan jalan air untuk dipasarkan ke Lembah Klang.

“Melihat kepada jumlah rokok yang banyak ini, saya yakin bukan sahaja untuk pasaran di Kelantan tetapi akan dibawa ke luar negeri termasuk di Klang, Selangor.

“Siasatan diteruskan terhadap kedua-dua suspek yang bukan orang Kelantan tersebut bagi mengesan pemilik rokok-rokok seludup terbabit,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman bagi membantu siasatan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (mana lebih tinggi) serta hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali termasuk denda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!