Kes kebakaran hutan di Pahang seluas 180 hektar
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang merekodkan kes kebakaran hutan seluas 180 hektar di negeri ini setakat ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata, situasi itu memberi cabaran cukup besar kepada pasukan pemadaman ketika melaksanakan operasi dan pemantuan kes kebakaran hutan dalam keadaan cuaca panas.
Menurutnya, pada ketika ini, pihaknya sedang mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan di seluruh negeri terutama di daerah Kuantan dan Rompin.
"Cuaca panas dan berangin pada bulan puasa adalah ujian besar buat anggota bomba yang bertungkus lumus mengawal api daripada merebak ke tengah hutan.
"Jabatan sering dipersoal tentang keberadaan dan fungsinya ketika kejadian-kejadian seumpama ini berlaku seperti tiada kawalan serta pengakhiran.
"Namun, ia bukanlah satu bebanan oleh pasukan, memandangkan mereka tahu perasaan segelintir masyarakat yang risau, cakna tentang keadaan sekeliling dan situasi semasa," katanya pada Ahad.
Beliau memberitahu, sepanjang Januari hingga bulan ini, jumlah komulatif kebakaran terbuka direkod 704 kes.
Jelasnya, sebanyak 42 kes melibatkan hutan, tujuh kes adalah kebun, kebakaran lalang dan belukar sebanyak 627 kes serta sampah pula 26 kes.
"Di Kuantan merekodkan kebakaran lalang dan belukar paling tinggi iaitu 119 kes diikuti, Bera (105), Rompin (77), Maran (76) dan Pekan sebanyak 58 kes," katanya.
Menurutnya, berdasarkan statistik, jelas menunjukkan tahap kesedaran masyarakat berkaitan isu pembakaran terbuka masih lagi rendah.
Katanya, saban hari kejadian kebakaran berlaku disebabkan segelintir masyarakat tidak segan silu memulakan kebakaran.
"(Mereka) lansung tidak bertanggungjawab dengan kesan perilaku mereka. (Perbuatan itu menyebabkan) masyarakat sekeliling terpaksa mengadap asap tebal dan jerebu dengan indeks pencemaran udara.
"Selain itu, pembaziran sumber kerajaan bagi menampung kos pemadaman," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad Zaidi berkata, berdasarkan rekod, hampir 800 panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berkaitan kebakaran hutan di seluruh negeri.
Wan Mohamad Zaidi menambah, daerah Kuantan mencatatkan angka panggilan tertinggi iaitu sebanyak 150 panggilan kes sejak musim kemarau tahun ini.
“Pihak kita bersiap sedia dari segi keanggotaan dan logistik pada setiap masa, tidak kira siang atau malam untuk melaksanakan tugas sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan seperti ini.
"Namun ada kalanya kes-kes yang berlaku serentak di bawah jagaan BBP yang sama (akan) lebih menyukarkan keadaan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!