'Jualan Agro Madani, Rahmah bukan punca beras kurang di pasaran'
JELEBU - Dakwaan Program Jualan Agro Madani dan Program Jualan Rahmah yang diadakan menyebabkan bekalan beras putih tempatan tiada di pasaran adalah tidak benar.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ada pihak-pihak tertentu cuba mengeruhkan keadaan dan suasana.
"Saya tidak nafikan ada kekurangan bekalan beras tetapi kekurangan ini masih di bawah kawalan, macam di Negeri Sembilan saya dah sebut berkali-kali bekalan beras putih tempatan masih mencukupi.
"Saya harap semua pihak dan masyarakat tidak guna isu kekurangan ini mencetuskan keadaan huru hara kepada rakyat,"katanya ketika ditemui pemberita Program Mantai Rayo Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di sini pada Ahad.
Ujarnya, menerusi dua program jualan anjuran kerajaan pusat itu beras putih tempatan masih dijual pada harga RM26 sekilogram dan kebiasaan seperti program hari ini, kita membawa 1,000 kampit beras 10 kilogram dan itu tidak termasuk di tempat lain yang menganjurkan program sama.
"Semalam menerusi Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di DUN Sungai Lui, sebanyak 800 kampit beras 10 kilogram habis dijual kepada orang ramai,"katanya.
Jalaluddin turut menegaskan program jualan yang dianjurkan termasuk Mantai Rayo Negeri Sembilan hanya untuk rakyat tempatan dan warga asing boleh membeli barang keperluan di pasar raya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Jalaluddin berkata, semua pihak seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Pada saya jangan dibuat perkara yang boleh...orang kata bukan mendatangkan kemarahan, tetapi kenyataan-kenyataan yang membuatkan rakyat tidak selesa. Kita selama ini makan nasi juga daripada beras. Makan ubi kayu ini saya ingat makanan sampingan.
"Kena berhati-hatilah bercakap dalam keadaan rakyat memikirkan pelbagai perkara. Macam mana saya buat (contoh) kenyataan supaya semua rakyat dan masyarakat di Negeri Sembilan, kita hentikan dahulu makan nasi dan kita mulakan makanan ubi kayu. Saya tak fikir itu merupakan satu kenyataan yang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta memberi pandangan mengenai kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya rakyat makan ubi kayu sebagai sumber karbohidrat menggantikan beras.
Sebelum itu Jalaluddin yang juga Exco Kanan Negeri Sembilan menyantuni pengunjung pada Program Mantai Rayo di kawasan berkenaan.
Pada program itu harga daging pejal ditawarkan RM27 sekilogram, telur sepapan RM5, beras tempatan 10 kilogram RM20, ada juga sayuran dan ikan air tawar sejuk beku percuma sehingga menyebabkan orang ramai tidak lepas peluang mendapatkannya biarpun terpaksa beratur panjang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!