100 anak yatim diraikan sempena Aidilfitri

Seramai 100 anak yatim diraikan dan dibawa membeli baju raya oleh Pusat Jagaan Anak Yatim Smart IQ.
Seramai 100 anak yatim diraikan dan dibawa membeli baju raya oleh Pusat Jagaan Anak Yatim Smart IQ.
A
A
A

ALOR SETAR - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 100 anak-anak yatim dan asnaf apabila mereka dibawa Pusat Jagaan Anak Yatim Smart IQ untuk membeli baju raya sempena Aidilfitri tidak lama nanti.

Pengerusinya, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, program sumbangan tahunan pusat jagaan terbabit dinamakan sebagai Projek Baju Raya Anak Yatim Smart IQ.

Menurutnya, program itu menghimpunkan anak-anak yatim termasuklah dari Alor Setar, Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Perlis untuk membeli baju raya dengan pilihan masing-masing.

"Kami berharap dapat meringankan beban keluarga anak-anak yatim terpilih yang rata-rata mereka adalah dari keluarga yang susah.

"Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan keceriaan mereka menyambut dan meraikan hari lebaran seperti kanak-kanak yang lain,"katanya pada Ahad.

Beliau berkata, anak-anak yatim terbabit juga berhak merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan walaupun ketiadaan ayah mereka.

Muhammad Azki membantu seorang kanak-kanak mencuba baju raya baharu.
Muhammad Azki membantu seorang kanak-kanak mencuba baju raya baharu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Muhammad Azki, program terbabit mendapat sumbangan dari Pusat Jagaan Anak Yatim Smart IQ, badan korporat, syarikat perniagaan dan orang perseorangan.

"Program berjalan dengan lancar dan tersusun dengan kerjasama 50 orang sukarelawan yang membantu proses pemilihan dan pembelian baju raya anak- anak yatim,selain memastikan keselamatan mereka sepanjang program berjalan,"katanya.

Menurutnya lagi, program diakhiri dengan acara penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim oleh Pusat Jagaan Anak Yatim Smart IQ dan orang perseorangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!