Suspek tembak anggota Maritim Malaysia dipercayai perompak laut - Polis

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Polis percaya suspek yang menembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu di perairan Kunak pada Ahad adalah perompak laut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil maklum kes tembakan membabitkan anggota Maritim Malaysia itu dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Kita tidak pasti adakah mereka sudah merentasi perairan negara jiran namun usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

"Kita percaya ini adalah suspek biasa. Setakat ini kita percaya mereka ini adalah perompak laut berdasarkan siri rompakan di laut sebab kita ada maklumat mereka ini memiliki senjata api," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan bahawa suspek terlibat dalam kumpulan Kidnap For Ransom (KFR) yang pernah berlaku di Sabah sebelum ini.

"Bukan, mana ada KFR," katanya ringkas.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan dua anggota Maritim Malaysia cedera apabila penjenayah bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah bot Banggi 48 di perairan Kunak.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut berbalas tembakan dengan penjenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketika kejadian, pasukan Maritim Malaysia sedang menjalankan Ops Khas Pagar di perairan tersebut sebelum mengesan sebuah bot bersama tiga suspek yang memiliki senjata api.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal meminta orang ramai tidak panik berhubung kejadian terbabit.

Katanya, ketika ini anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh perairan Kunak terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita nasihatkan agar masyarakat setempat terutama di kawasan daerah Kunak jangan panik, tidak perlu bimbang dan sentiasa bertenang berikutan pihak keselamatan sentiasa bersiap sedia terutama di musim perayaan ini.

"Pihak polis juga akan meningkatkan lagi aspek keselamatan di daerah ini dan perairannya untuk memastikan keselamatan terus terjamin dan terpelihara walaupun semasa dan selepas sambutan Hari Raya," katanya.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu turut berkata, orang ramai perlu meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pasukan keselamatan bagi memastikan seluruh kawasan perairan Lahad Datu dan Kunak tidak diceroboh dengan mudah.

"Masyarakat perlu memberi keyakinan dan kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berhampiran untuk tindakan segera diambil," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!