Pusat pengedaran makanan akan diwujudkan di Kajang
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal mewujudkan Pusat Pengedaran atau Distribution Centre di Kajang, Selangor sebagai lokasi pengumpulan makanan sebelum diedarkan ke lokasi yang dikenal pasti.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat yang dijangka beroperasi Februari ini sedang dalam proses akhir untuk disiapkan.
Menurutnya, kehadiran pusat pengedaran tersebut secara tidak langsung akan menambahbaik lagi program Food Bank yang mula dilancarkan Disember dua tahun lalu itu.
"Buat masa ini, pusat ini sedang dalam proses ubahsuai dan apabila siap nanti kita akan jemput pihak media untuk mengadakan lawatan sekali gus umumkan kewujudan Distribution Centre ini.
"Tujuan kita wujudkan pusat ini adalah untuk memastikan proses pengagihan bekalan ke lokasi yang telah ditentukan akan berjalan lancar.
"Daripada segi logistik seperti trak penyejuk pun kita sudah ada. Secara keseluruhan kini kita ada 13 trak penyejuk," katanya pada sidang media selepas selesai menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Food Bank Malaysia dan Nestle (Malaysia) Berhad di pejabatnya di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Food Bank selamatkan 3.7 tan lebihan makanan
Food Bank Malaysia manfaat 45,850 anggota isi rumah
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, kewujudan pusat itu penting bagi memastikan agihan bantuan makanan yang diterima nanti lebih tersusun sebelum diedarkan ke lokasi yang memerlukan.
"Walaupun pusat ini terletak di Kajang, tetapi agihan kita meliputi semua kawasan bencana atau lokasi memerlukan di seluruh negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!