Syawal lebih bermakna buat lima beradik yatim piatu
SUNGAI PETANI - Syawal tahun ini lebih bermakna buat lima beradik yatim piatu apabila menerima baucar membeli-belah bernilai RM1,200 di Econsave Bandar Puteri Jaya, di sini pada Ahad.
Kakak sulung, Nurul Fatin Hanani Azmi, 23, berkata, dia setakat ini hanya membuat persiapan ala kadar, namun tidak menyangka terpilih menerima sumbangan baucar Dana Econsave Prihatin serta berpeluang membeli barangan keperluan harian dan hari raya.
"Tiada persiapan dibuat sebelum ini kerana menganggap masih dalam 'mood' bersedih memandangkan kali pertama beraya tanpa mama dan abah namun, kami banyak menerima sokongan pelbagai pihak yang membuatkan kami bersyukur," jelasnya.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pasar raya berkenaan atas layanan baik diterima.
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan berkenaan bagi menyantuni anak yatim piatu selain mengurangkan bebanan yang ditanggung Nurul Fatin bagi menyara empat adiknya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohd Norzianal, 46, dan isterinya, Suhana Othman, 43, meninggal dunia selepas motosikal jenis Duke KTM yang dinaiki mereka melanggar tiang elektrik dipercayai cuba mengelak babi melintas bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini.
Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kejadian itu menyebabkan Nurul Fatin dan empat adiknya, Aida Batrisya, 17, Alya Batrisya, 16, Adam Irfan,15 dan Adib Ieman Mohd Norzianal, 8, hilang tempat bergantung.
Terdahulu, Econsave turut menyampaikan sumbangan kepada dua beradik yatim piatu terlantar termasuk, Muhammad Azim Syukri, 23, di Taman Sejati di sini dan Maisarah Mohamad Nasir, 29, di Taman Seraya Pinang Tunggal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!