Ketat sempadan Malaysia-Thailand sempena Aidilfitri, cuaca panas
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sempena Aidilfitri yang dirai dalam keadaan cuaca panas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, usaha akan dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan meneruskan strategi kawalan yang baharu susulan air sungai cetek.
“Kami mengenal pasti laluan-laluan baharu yang mungkin diambil kesempatan dan memudahkan penyeludup untuk melakukan kegiatan penyeludupan kontraban kerana paras sungai Golok yang menurun.
“Ditambah pula dengan sambutan Aidilfitri dan polis tidak boleh alpa atau memberi apa-apa ruang untuk penjenayah ini ambil kesempatan semasa musim perayaan,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Peringat pada Ahad.
Beliau berkata, dalam tempoh tahun ini, setakat 6 April, PGA merekodkan 48 kes tangkapan pelbagai barangan kontraban bernilai RM1.05 juta.
“Strategi yang ditukar baru-baru ini dilihat berkesan dan PGA akan terus mengetatkan kawalan di lapisan pertama itu.
“Jika penyeludup ini terlepas di lapisan pertama tersebut, maka akan ada lapisan kedua yang terdiri di bawah penguasaan ketua polis daerah yang akan bertanggungjawab termasuk menyekat mereka di sekatan jalan raya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!