Mapim desak PBB hantar pasukan pengaman ke Palestin

Bangunan kediaman penduduk di Genting Gaza musnah selepas dibom rejim Zionis. Foto EPA (Gambar kecil: Mohd Azmi)
Bangunan kediaman penduduk di Genting Gaza musnah selepas dibom rejim Zionis. Foto EPA (Gambar kecil: Mohd Azmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak dunia menghantar pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza dan Tebing Barat.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hari ini genap enam bulan perlakuan genosid oleh Zionis Israel membunuh rakyat awam di negara bergolak itu.

“Israel telah menunjukkan kedegilannya malah penentangannya sejak resolusi tidak mengikat resolusi gencatan senjata segera diluluskan oleh Sidang Umum PBB ( UNGA ) dengan 153 negara menyokong pada 13 Disember 2023. Ini telah diabaikan oleh Israel.

“Ia telah melakukan kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Tidak ada undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang tidak dilanggar bukan sahaja terhadap rakyat Palestin tetapi juga serangan merentasi sempadan dan operasi pembunuhannya, untuk meluaskan medan perangnya bagi mencetuskan kemungkinan perang serantau," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azmi berkata, selepas 7 Oktober 2023, keganasan puak Yahudi semakin meningkat yang didokong tentera Israel membenarkan serangan ke atas rumah-rumah kediaman warga Palestin di Tebing Barat.

“Israel sedang menyelesaikan misi mengosongkan Gaza dan matlamat untuk membersihkan rakyat Palestin dari Gaza inilah yang Netanyahu dengan sekutu baratnya cuba melengkapkan pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan paksa penduduk Gaza.

“Amerika Syarikat (AS ) dan Israel juga sedang memikirkan jangka masa untuk memindahkan seluruh penduduk keluar dari Gaza,” katanya.

Jelasnya, dengan senario sedemikian, pasukan pengaman perlu dihantar ke Gaza dan masyarakat dunia tidak seharusnya membenarkan pemindahan paksa di Gaza mengulangi peristiwa Nakbah 1948.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kami menyokong inisiatif Flotilla Break the Gaza Siege yang kini sedang direncana oleh NGO antarabangsa, pasukan penjaga keamanan yang diberi mandat PBB adalah sangat diperlukan.

“Untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya, memecahkan sekatan Gaza, melindungi orang awam, membenarkan akses penuh kepada bantuan kemanusiaan dan memulakan proses pembinaan semula Gaza, keselamatan penuh mesti dijamin oleh agensi antarabangsa.

“Ini sahaja yang boleh menghalang negara pengganas Israel dihalang dari terus membunuh dan mendera rakyat Palestin di Gaza,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!