Vern’s mohon maaf logo kasut mirip kalimah ALLAH

Logo kasut jenama Vern’s yang disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam. Foto ihsan Vern’s Holding.
Logo kasut jenama Vern’s yang disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam. Foto ihsan Vern’s Holding.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Syarikat itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” katanya pada Ahad.

Jelas kenyataan itu, syarikat telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!