Air mata tumpah terima baju raya sumbangan Tengku Mahkota Kelantan

Tengku Muhammad Fakhry (kanan) memakaikan baju raya kepada anak sulung Zilawati.
Tengku Muhammad Fakhry (kanan) memakaikan baju raya kepada anak sulung Zilawati.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu mengalirkan air mata kesayuan pada hujung Ramadan tatkala dia sekeluarga termasuk tiga anaknya terpilih menerima baju raya daripada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, di sini pada Ahad.

Zilawati Abdullah, 38, yang juga isteri kepada orang kurang upaya (OKU), Mohd Ismail Abdul Hamid, 40, berkata, pemberian baju raya tersebut amat dinanti-nantikan kerana dia belum membuat sebarang persediaan bagi menyambut perayaan walaupun Aidilfitri hanya berbaki tiga hari lagi.

Mohd Ismail (tengah) bersalaman dengan Tengku Muhammad Fakhry (kanan).
Mohd Ismail (tengah) bersalaman dengan Tengku Muhammad Fakhry (kanan).

Menurutnya, dia tidak bekerja manakala Mohd Ismail pula hanya mengambil upah mengutip kelapa di kawasan sekitar kampung mereka di Aur Telong, Bachok.

“Suami saya OKU pelbagai termasuk pekak dan lemah pelajaran. Dia mendapat upah RM40 setiap kali keluar bekerja mengutip kelapa.

“Duit itu hanya cukup-cukup makan sahaja, jadi saya tidak beli baju raya sehinggalah dapat tahu melalui telefon terpilih untuk menerima pemberian daripada Tengku Muhammad Fakhry,” katanya ketika ditemui pada Program Community Policing - Raja bersama Marhain Lebaran Penuh Makna di sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Berkongsi lanjut, sambil mengalirkan air mata, Zilawati mengakui pernah lima tahun berturut-turut tidak membeli baju raya buat dirinya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Tengku Muhammad Fakhry (tengah) bergambar dengan para penerima.
Tengku Muhammad Fakhry (tengah) bergambar dengan para penerima.

Baju raya anak-anak pula dibeli dengan menggunakan wang zakat yang diterima mereka.

“Hanya dua tahun kebelakangan ini kami bertuah mendapat baju raya untuk Aidilfitri yang lebih bermakna.

“Saya sangat menjunjung kasih atas pemberian Tengku Muhammad Fakhry dan mendoakan agar beliau sentiasa diberkati ALLAH SWT,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, pada majlis itu, seramai 30 anak yatim, OKU dan asnaf menerima sumbangan baju raya bernilai RM300 setiap seorang.

“Hari ini kami bawa mereka yang betul-betul tidak berkemampuan dan belum memiliki baju raya untuk membelinya bagi meraikan Aidilfitri.

“Mereka ini dipilih dari daerah di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Mas,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!