Provokasi, campuri urusan agama lain ibarat api dalam sekam - Ahmad Zaini
SHAH ALAM - Perbuatan berunsurkan kebencian dan provokasi membabitkan etnik serta agama termasuk mencampuri urusan agama lain boleh diibaratkan seperti api dalam sekam.
Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamarzzaman berkata, tindakan itu membakar dari dalam secara perlahan dan mungkin menyebabkan keseluruhan padi hangus terbakar.
Menurutnya, dalam konteks negara pelbagai agama dan kaum seperti Malaysia, ia sangat berbahaya jika dibiarkan tanpa langkah pencegahan.
“Justeru, New Straits Times Press (NSTP) turut menyertai Gerakan #MZB365 untuk sama-sama menyebar luaskan keperluan memulihara perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Kempen memohon maaf dan memberikan kemaafan yang menjadi terus gerakan ini sempena Aidilfitri minggu ini perlu disambut dan menjadi amalan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, kejadian serangan bom api di tiga lokasi KK Mart baru-baru ini perlu dihindari dan gerakan yang menggabungkan sokongan daripada ilmuwan dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta media ini diharap dapat membantu memadamkan api dalam sekam.
Menyedari wujudnya elemen ketegangan melibatkan agama di bulan Ramadan ini, beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan media menyeru rakyat Malaysia untuk melawan ungkapan kebencian dan provokasi etnik-agama dengan rahmah setiap hari.
Mengambil semangat maaf zahir dan batin, melalui Kempen #MZB365, perasaan saling memaafi itu tidak terhad kepada bulan Syawal semata-mata, tetapi dari awal Muharam sehingga ke akhir Zulhijah, dari 1 Januari sehingga ke 31 Disember, sepanjang 365 hari setahun.
Sinar Harian, Astro AWANI, The Star, Sin Chew dan Malayan Nanban antara media yang turut menyokong kempen #MZB365.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!