Ng Sze Han dilantik Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu
SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor melantik Exco Kerajaan Negeri, Ng Sze Han sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Setiausaha PH Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman berkata, keputusan tersebut antara beberapa ketetapan yang telah diambil menerusi pertemuan diadakan pada Ahad.
Menurutnya, Sze Han akan dibantu Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof bagi kelancaran gerak kerja PRK.
"Pasukan ini akan menyelaras gerak kerja dan kempen yang akan dirangka oleh PH Selangor dan membuat persiapan serta menyelaras tugasan berkait kempen PRK dengan PH pusat serta parti-parti di dalam Perpaduan.
"Pasukan ini juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa utama yang akan bersedia untuk bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon iaitu pada 27 April 2024 sehingga ke hari mengundi pada 11 Mei 2024," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo memaklumkan kepimpinan tertinggi PH akan bermesyuarat hari ini untuk memuktamadkan pemilihan calon kerusi berkenaan.
Ia selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mei sebagai hari mengundi bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Selangor.
PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.
Mohd Khairuddin berkata, calon PH yang akan bertanding di kerusi berkenaan adalah daripada DAP.
"Seusai senarai calon dikemukakan oleh DAP diputuskan PH pusat, PH Selangor akan mengaturkan majlis pengumuman calon yang akan berlangsung sebelum hari penamaan calon," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!