Tabiat buang sampah di tepi jalan menjengkelkan

Keadaan tepi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua Musang dipenuhi sampah sarap.
Keadaan tepi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua Musang dipenuhi sampah sarap.
A
A
A

SETIAP kali musim perayaan, antara perkara yang menjadi perbualan hangat adalah kesesakan jalan raya yang sehingga kini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya lagi.

Jumlah kenderaan menjadi berkali ganda pada waktu puncak cuti panjang kerana ramai yang berlumba-lumba pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama keluarga tersayang.

Tidak hairanlah jika ada yang mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi berbanding hari-hari biasa.

Pun begitu, demi nak balik beraya, berapa jam pun sebenarnya tidak menjadi masalah. Yang penting dapat beraya bersama keluarga.

Namun, yang menjadi isu berkaitan jalan raya perlu dipandang serius walaupun nampak seperti remeh bagi sesetengah orang ialah tabiat membuang sampah di tepi jalan raya.

Bukan perkara baharu lagi, cuma tidak ada tindakan tegas yang betul-betul diambil terhadap pelaku.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menyifatkan membuang sampah merata-rata itu sebagai perbuatan tidak bertamadun yang menyusahkan semua orang.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memuat naik gambar pekerja Alam Flora sedang membersihkan lambakan sampah di sebuah lebuh raya.

Susulan itu, pada tahun ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan semua penguat kuasa pihak berkuasa tempatan untuk terus mengeluarkan kompaun kepada individu yang membuang sampah di tepi jalan.

Akhbar ini berpandangan tindakan tersebut amat wajar sebagai langkah proaktif untuk mengelakkan jalan raya kita dipenuhi sampah.

Jika tidak dibanteras sejak awal perangai mereka yang tidak bertamadun ini, lambat laun Malaysia akan dikenali sebagai sebuah negara yang rakyatnya pengotor. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Apatah lagi negara dalam kempen tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing. Sangat memalukan jika tanggapan pelancong seperti itu terhadap negara kita.

Lagipun bukannya susah, sediakan plastik sampah di dalam kereta dan apabila tiba di mana-mana destinasi, buanglah sampah tersebut di tong sampah yang disediakan.

Takkan perkara ini pun masih nak diajar?

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!