Pisang sira usahawan asnaf paling laris
IPOH - Permintaan tinggi terhadap produk industri kecil dan sederhana (IKS) menjelang Hari Raya Aidilfitri membuatkan usahawan asnaf tidak menang tangan penuhi tempahan.
Seorang usahawan, Siti Zahira Ismail, 48, berkata, pisang sira dan kerepek pisang antara produk yang menerima permintaan paling tinggi di bawah jenama Akak Lejen yang menaungi kumpulan usahawan- usahawan asnaf.
Menurutnya, pisang sira paling mendapat permintaan apabila sehingga kini lebih 200 kilogram sudah terjual dan terus mendapat tempahan.
“Tahun lepas jualan lagi tinggi dan melonjak berbanding tahun ini yang agak perlahan. Walau bagaimanapun produk sama tetap jadi pilihan orang ramai sebagai buah tangan sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Sebenarnya produk keluaran usahawan asnaf ini banyak yang berkualiti walaupun mereka hanya hasilkan di rumah. Jadi stigma bahawa produk asnaf kurang berkualiti perlu diubah sekali gus dapat membantu mereka ini keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru- baru ini.
Siti Zahira yang merupakan penerima Anugerah Usahawan Perak 2022 dan diiktiraf Usahawan Asnaf Terbaik 2022 mula menjinakkan diri dalam perniagaan pada tahun 2018 selepas mendapat bimbingan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menerusi program mentor-mentee.
Bermula dengan menghasilkan produk makanan buatan sendiri iaitu miang kham yang merupakan makanan tradisi Thailand serta popia gulung Vietnam, Kedai Akak Lejen yang diterajuinya menjadi pusat pengumpulan produk usahawan-usahawan asnaf.
“Saya kini fokus mencari usahawan-usahawan asnaf di luar bandar yang berpotensi untuk diangkat produk mereka ke peringkat lebih tinggi di bawah jenama Akak Lejen. Produk mereka memang sudah berkualiti cuma kita bantu pasarkan dan jenamakan semula dengan bungkusan lebih menarik.
“Kini, pemasaran produk lebih mudah dengan wujudnya Anjung Usahawan MAIPk yang dikendalikan Koperasi Usahawan Mandiri Perak Berhad di Angsana Mall Ipoh. Lokasi yang strategik ini mampu melonjakkan lagi jualan usahawan asnaf,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!