Ekrem Imamoglu, pencabar utama Erdogan
ANKARA - Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu muncul sebagai pencabar utama kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan selepas kemenangan kedua beliau pada pemilihan sengit baru-baru ini yang turut memberi tamparan hebat kepada parti pemerintah.
Meskipun dianggap sebagai pesaing, kedua-duanya dikatakan mempunyai banyak persamaan malah Erdogan juga pernah menerajui bandar terbesar itu.
Susulan kejayaan Imamoglu, 52, yang dapat mengekalkan jawatannya apabila menewaskan calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), bekas Menteri Perbandaran dan Alam Sekitar, Murat Kurum dengan 51 peratus undi, beberapa penganalisis mula melihat potensi besar beliau untuk menjadi Presiden pada 2028.
Menerusi ucapan kemenangannya, beliau menyifatkan pengundi telah menghantar mesej secara terus kepada Erdogan.
“Mereka yang tidak memahami suara rakyat pastinya akan tewas,” ujarnya.
Imamoglu dan Erdogan mempunyai tahap keupayaan sama untuk meraih sokongan pengundi, namun kedua-duanya menunjukkan perbezaan ketara dalam isu politik.
“Sebahagian besar idea kami bertentangan,” kata bekas ahli perniagaan tersebut.
Erdogan menceburi bidang politik dengan Parti Kebajikan Islam dan menjadi pengasas bersama AKP yang kemudiannya membentuk semula negara sekular itu dengan visi yang lebih menitikberatkan hal agama sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2002.
Imamoglu yang mewakili Parti Rakyat Republikan (CHP) pula bermula dengan menjadi Datuk Bandar Daerah Beylikduzu, kira-kira sedekad lalu.
DIHIMPIT KONTROVERSI
Beliau pertama kali dilantik sebagai Datuk Bandar Istanbul pada 2019 dan keputusan yang mengekalkan jawatannya telah mengukuhkan lagi status pemimpin tersebut.
Pelantikannya telah menamatkan pemerintahan AKP selama 25 tahun dan sekutunya di bandar berpopulasi 16 juta penduduk itu.
Tokoh pembangkang itu pernah berdepan kontroversi apabila keputusan yang berpihak kepadanya dibatalkan.
Namun, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'.
Imamoglu telah meraih kemenangan dengan margin lebih besar selepas pemilihan semula diadakan kira-kira tiga bulan kemudian.
Sejak itu, Imamoglu terus menjadi 'sasaran undang-undang'.
Pada akhir 2022, sebuah mahkamah di Istanbul menjatuhkan hukuman penjara 31 bulan ke atasnya, gara-gara kenyataan menghina pegawai pilihan raya setelah pengundian pusingan pertama pada kemenangan pertamanya dibatalkan.
Keputusan itu telah menghalang beliau daripada menyertai politik sepanjang tempoh hukuman tersebut.
Imamoglu bagaimanapun mengemukakan rayuan yang membolehkannya terus berkhidmat sebagai Datuk Bandar.
Keputusan untuk bertanding sebagai calon mewakili CHP pada pemilihan bulan lalu dan kemenangan besar diraihnya telah mengejutkan parti lain.
Walaupun berdepan pelbagai halangan dari Ankara, pentadbiran Imamoglu menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk dalam usaha pembangunan Istanbul yang turut menjadi pemacu ekonomi negara tersebut.
PELUANG BERTANDING
Ekrem Imamoglu dilahirkan pada 4 Jun 1970 di Akçaabat, barat bandar Trabzon.
Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Istanbul dan tamat belajar pada 1994, tahun sama Erdogan menjadi Datuk Bandar.
Selepas selesai pengajian peringkat Ijazah Sarjana, Imamoglu kemudiannya menyertai perniagaan keluarganya yang menguruskan projek pembinaan.
Sejak kemenangan Erdogan pada Pilihan Raya Presiden 2023, Imamoglu tampil mencabar kepimpinan CHP dan menuntut perubahan selepas bekas pemimpin, Kemal Kilicdaroglu ditewaskan.
Erdogan telah menyatakan beliau tidak akan bertanding untuk penggal keempat pada 2028, sekali gus membuka jalan kepada tokoh pembangkang itu untuk bersaing dengan calon lain yang mewakili AKP pada pemilihan tersebut.
Beberapa pengkritik melihat Imamoglu sebagai 'pengendali politik efektif' ketika ini yang mewakili harapan untuk konstituen menentang Erdogan dan AKP. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!