Perpaduan kaum mampu kalahkan hasutan, provokasi

Ikatan perpaduan kaum yang kuat mampu mengalahkan hasutan dan provokasi. Gambar hiasan.
Ikatan perpaduan kaum yang kuat mampu mengalahkan hasutan dan provokasi. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan perpaduan kaum yang kuat mampu mengalahkan hasutan dan provokasi oleh mereka yang mengejar kepentingan partisan, perniagaan dan peribadi.

Konvenor Projek - Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Ngeow Chow Ying berkata, isu perkauman tidak dapat dielakkan namun, sebagai negara majmuk yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan etnik perlu memahami antara satu sama lain.

Menurutnya, masyarakat perlu bersikap matang dalam menangani isu sensitiviti antara kaum di negara ini supaya ia dapat mengekalkan keharmonian sedia ada.

“Hidup dalam masyarakat berbilang agama dan etnik, kita tidak boleh sama sekali mengelak atau menghalang kejadian yang menyakitkan berlaku kepada satu komuniti atau yang lain.

“Bagi mengelak permusuhan daripada terus berlaku, kita perlu membina daya tahan emosi supaya tidak ‘kalah’ kepada provokasi mahupun hasutan daripada pelbagai pihak.

“Masyarakat yang matang tahu kaedah untuk menyembuhkan kesakitan dan mencegah peningkatan konflik,” katanya dalam reaksi kempen #MZB365 pada Ahad.

Dalam pada itu, menurut Chow Ying, amalan memohon kemaafan mampu membina keamanan, mengurangkan permusuhan dan mengeratkan ikatan silaturahim.

Ujarnya, dengan menutup ruang kebencian ia dapat menghentikan keganasan yang mampu memisahkan setiap kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, amalan memohon pengampunan dan tindakan memaafkan orang lain adalah penting untuk keharmonian sosial dan kestabilan politik.

“Kami amat berbangga untuk meneruskan kempen kebaikan ini bersama masyarakat sivil dan rakan media kami.

“Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan marilah kita bersama-sama menyertai kempen #MZB365,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!