Ubi kayu: Kerajaan perlu bentang Kertas Putih Sekuriti Makanan di Parlimen

Keratan laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Keratan laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan supaya ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat menggantikan nasi perlu dibentangkan menerusi Kertas Putih Sekuriti Makanan di Parlimen untuk dibahaskan secara menyeluruh.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George berkata, cadangan tersebut perlu dikaji dan dibincangkan bersama pemegang taruh termasuk petani.

Menurutnya, tanpa perancangan yang teliti, ia akan memberi kesan buruk terhadap keadaan sekuriti makanan dalam negara.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan ini dan kita mahu Kertas Putih Sekuriti Makanan untuk dibahaskan dan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa asas.

“Walaupun ubi kayu dilihat mampu menyelesaikan isu beras, namun kerajaan perlu berbincang dengan petani untuk bersama-sama mengatasi masalah kebocoran sekuriti makanan di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, menurut Jacob, setakat ini kerajaan tidak mempunyai langkah konkrit dalam memastikan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi.

Ujarnya, masalah kebergantungan terhadap makanan import terlalu tinggi menyebabkan sesetengah barangan tidak mampu dibeli oleh orang ramai kerana harga yang ditawarkan terlalu mahal.

“Saya ingin tegaskan kita perlu membuat perancangan segera bagi membina semula sektor pertanian yang lebih baik dengan bantuan pakar termasuk teknologi bagi membantu kita menghasilkan makanan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kebergantungan terhadap barangan import bukan penyelesaian jangka panjang, tetapi dengan menghasilkan makanan sendiri kita akan lebih untung,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!