Peniaga Jalan TAR turunkan harga jualan untuk habiskan stok

Jalan TAR sesak dengan kehadiran orang ramai membeli persiapan hari raya pada malam Ahad.
Jalan TAR sesak dengan kehadiran orang ramai membeli persiapan hari raya pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga yang menawarkan kelengkapan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilihat mula menawarkan ‘harga runtuh’ bagi menarik minat pembeli ke gerai jualan masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian pada malam Ahad mendapati rata-rata peniaga turut membuat pelbagai promosi menghabiskan stok jualan.

Peniaga, Muaz Azmi, 40, berkata, jika sebelum ini sepasang baju Melayu serta sampin dijual pada harga RM159, kini harga telah diturunkan kepada RM80 hingga RM100 sepasang.

“Kami perlu habiskan stok sebab esok hari akhir berniaga, kalau jual dengan harga ini kira dapat pulang modal pun tak jadi masalah daripada tanggung rugi,” katanya.

Peniaga biskut raya, Hasnah Borhan, 45, mengakui jualan agak perlahan pada Ramadan kali ini kerana kuasa beli agak kurang.

Mohd Razis (kanan) menawarkan motosikal kepada pembeli bertuah.
Mohd Razis (kanan) menawarkan motosikal kepada pembeli bertuah.

“Sekarang saya bagi harga paling murah iaitu enam balang boleh campur berlainan jenis biskut pada harga RM80,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga di situ.

Sementara itu, peniaga tudung, Mohd Razis Othman, 37, berkata gerai jualannya menawarkan dua buah motosikal dan tiga loket emas bagi menarik minat orang ramai berbelanja di kedainya.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang membeli RM100 ke atas layak menyertai cabutan bertuah dan dan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan,” katanya.


Tawaran harga runtuh bantu masyarakat berjimat buat persiapan Aidilfitri

Sementara itu di MELAKA, tawaran 'harga runtuh' dan istimewa peniaga-peniaga di Glam Ramadan Bazar Klebang di sini memberi peluang kepada masyarakat untuk menjimatkan perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Bernama di bazar itu Ahad malam mendapati ada peniaga menurunkan harga jualan hingga lebih 30 peratus bagi menghabiskan stok mereka, sekali gus menarik kehadiran pengunjung yang sedang membuat persiapan akhir menyambut lebaran.

Marzuki Omar, 42, dari Pantai Puteri di sini berkata, dia membeli persiapan hari raya malam tadi selepas beberapa kali membuat tinjauan harga di bazar-bazar Aidilfitri dan pasar raya agar dapat membuat pilihan terbaik bagi menjimatkan perbelanjaan.

Pekerja swasta itu berkata pembelian pada saat akhir juga dilakukan kerana menunggu gaji dan bonus baru masuk yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk membeli keperluan Aidilfitri.

"Saya memang rancang beli pakaian baharu untuk anak-anak pada saat akhir kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding pada awal Ramadan ... kita juga masih dapat tawar-menawar harga lagi dengan peniaga.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli kuih dan kerepek sebagai persiapan akhir sempena Hari Raya Aidilfitri di Glam Bazar Ramadan Klebang, ketika tinjauan FotoBernama di sini malam ini.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli kuih dan kerepek sebagai persiapan akhir sempena Hari Raya Aidilfitri di Glam Bazar Ramadan Klebang, ketika tinjauan FotoBernama di sini malam ini.

"Lagipun, masih banyak lagi pilihan dan saiz yang tinggal, namun apa yang saya beli ini mengikut keperluan sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di Glam Ramadan Bazar Klebang di sini.

Sementara itu, Muhammad Zulhafifi Mohd Zahir, 26, berkata, dia dan isteri Intan Norhashima Hashim, 25, dari Bemban, Jasin gemar membeli-belah pada saat-saat akhir kerana ingin merasai suasana meriah di setiap bazar yang menawarkan harga runtuh tanpa perlu meminta diskaun.

"Kemeriahan di bazar Ramadan hanya setahun sekali kita dapat rasa ... saya sanggup datang dari jauh, walaupun terpaksa mengharungi ramai pengunjung, pengalaman setiap kali membeli-belah sangat dinanti-nantikan.

"Saya lebih suka beli di kedai atau bazar berbanding secara dalam talian kerana dapat lihat secara dekat dan mencuba saiz yang ada supaya tidak silap membeli, lagi puas hati," kata pemandu lori itu yang membelanjakan kira-kira RM400 untuk membeli barangan keperluan isterinya di bazar berkenaan.

Bagi suri rumah Azian Ibrahim, 46, dari Selandar, Jasin pula berkata, dia dan keluarga gemar meluangkan masa meninjau harga barangan di setiap bazar yang ada bagi memudahkan mereka membuat pilihan tepat dan dapat berjimat cermat.

Ibu kepada empat anak berusia 13 hingga 21 tahun itu berkata sebagai pengguna, dia perlu bijak membuat perbandingan harga dan bazar Ramadan merupakan antara lokasi beli-belah setiap tahun menjelang Aidilfitri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!