Influenza: Cepat dapatkan rawatan jika anak demam

Gambar hiasan vaksin -Foto 123rf (Gambar kecil: Dr Suhazeli Abdullah)
Gambar hiasan vaksin -Foto 123rf (Gambar kecil: Dr Suhazeli Abdullah)
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa diminta berwaspada dan terus membawa anak-anak ke pusat rawatan atau hospital jika mereka mengalami demam, selesema dan batuk berpanjangan.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ini kerana simptom berkenaan dikhuatiri antara tanda awal berkemungkinan jangkitan virus influenza yang mana jika tidak dirawat segera boleh membawa komplikasi serius hingga meragut nyawa.

Mengulas ancaman virus berkenaan, Dr Suhazeli berkata, ibu bapa jangan berlengah untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan jika syak dijangkiti influenza memandangkan penyakit tersebut boleh merebak menerusi sentuhan ataupun rembesan cecair daripada hidung.

"Kanak-kanak agak sensitif dengan perubahan suhu dan risiko gejala yang lebih teruk berbanding dewasa. Ibu-bapa jangan ingkar sekiranya doktor mengarahkan anak (pesakit) masuk hospital untuk rawatan lanjut. Jika doktor menasihati agar anak-anak berehat di rumah pula, rehatlah secukupnya. Jangan pula bawa anak-anak ke pasar raya untuk membeli belah atau berada di tempat awam selepas diberikan cuti rehat.

"Mereka perlu diberi secukupnya dan jangan biarkan anak anda kekurangan air (dehidrasi).

"Makan ubat demam, batuk atau seumpamanya yang dibekalkan oleh doktor. Jika mampu, asing anak anda dari ahli keluarga yang lain buat seketika," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hadkan pergaulan anak-anak sehingga keadaan demam, batuk, selsema sembuh dan hadkan jumlah pelawat yang datang melawat ketika anak-anak masih dalam tempoh pemulihan.

"Ini kerana, jangkitan boleh berlaku di kedua-dua belah pihak, sama ada pelawat atau anak yang dijangkiti.

Artikel Berkaitan:

Info Influenza - Foto KPM
Info Influenza - Foto KPM

"Bukan saya tidak benarkan ziarah keluarga, tetapi mendekati anak yang sedang dalam proses pemulihan itu perlu dihadkan. Perlu dihadkan pertemuan dengan orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa juga disarankan untuk memberi perlindungan vaksin kepada anak-anak yang lain atau kumpulan berisiko yang berada di dalam rumah mereka.

"Selain itu, amalkan tata-etika ketika batuk atau bersin. Jaga kebersihan persekitaran rumah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan antivirus influenza cukup sehingga tiga bulan

Influenza cepat merebak, boleh bawa maut

Influenza A: Keadaan terkawal di Kedah, usah panik

Dr Suhazeli berkata, di samping itu ketika mendapat rawatan di rumah ibu bapa atau penjaga juga perlu memerhatikan perubahan yang berlaku kepada anak-anak dan segera membawa mereka mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom menunjukkan keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

"Antaranya, bernafas kencang atau masalah pernafasan, kulit bertukar biru, anak tidak aktif, mereka kelihatan tidak bermaya serta tidak berselera langsung untuk makan dan minum.

"Lihat juga sama ada mereka dapat berinteraksi dengan baik atau sebaliknya, percakapan mereka terganggu atau tidak atau bertindak agresif daripada kehidupan normal mereka," katanya.

Sementara bagi bayi pula, katanya, sekiranya bayi tidak kencing atau kurang kencing, sentiasa merengek dan tidak keluar air mata apabila menangis, ibu bapa juga perlu segera bawa ke klinik.

Sementara itu, menurut sumber Kementerian Kesihatan, terdapat tiga jenis virus influenza iaitu A,B dan C. Ketiga-tiga ini boleh menjangkiti manusia.

Virus influenza A adalah paling berbahaya kerana boleh menjangkiti haiwan dan manusia selain boleh menjalani mutasi (perubahan genetik) dan menghasilkan virus influenza jenis baru yang lebih berbahaya.

Ini akan mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.

Virus influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, bersin atau batuk. Virus ini seterusnya masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!