Wanita dikaitkan dengan warga Israel didakwa miliki senjata

Abdul Azim dan Sharifah Faraha didakwa di Mahkamah Sesyen di Klang, pada Isnin - Foto ihsan polis
Abdul Azim dan Sharifah Faraha didakwa di Mahkamah Sesyen di Klang, pada Isnin - Foto ihsan polis
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita yang dikaitkan dengan kes penjualan senjata api kepada seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan memiliki pistol jenama LUGER, hujung bulan lalu.

Suaminya pula membuat pengakuan sama, tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu didakwa berada bersama-sama wanita itu dengan mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api.

Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa berada bersama Syarifah Faraha yang memiliki senjata api iaitu satu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL. 9 LUGER.

Ia menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa dia mengetahui isterinya itu memiliki senjata api tersebut dengan menyalahi undang-undang, di Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing di sini pada jam 8 malam, 29 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman pemenjaraan selama 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan terhadap Syarifah Faraha, didapati dalam milikannya senjata api yang menyalahi undang-undang tersebut, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 akta sama yang membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Mohammad Fakhrurrazi tidak mencadangkan jaminan memandangkan kesalahan yang dituduh, berada bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Selepas mendengar perkara itu, kedua-dua tertuduh tidak merayu berhubung ikat jamin tersebut.

Hakim kemudiannya tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes termasuk lantikan peguam.

Pada 30 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam bagi membantu siasatan kes membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel.

Polis turut menemukan satu pistol di beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Seorang lelaki warga Israel itu didakwa menggunakan pasport negara Perancis, untuk masuk ke ibu negara.

Ia terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang.

Pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam senjata api bersama 200 peluru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!