Israel sedia perang lebih ganas dengan Lubnan?

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan tanah tinggi perkampungan Habbariyeh selatan Lubnan selepas ia dibedil rejim Zionis pada minggu lalu. Foto AFP
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan tanah tinggi perkampungan Habbariyeh selatan Lubnan selepas ia dibedil rejim Zionis pada minggu lalu. Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Ahad mengumumkan konflik bersama Lubnan telah mencapai 'fasa baharu' selepas perang rentas sempadan berlarutan dan semakin ganas sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

“Persediaan untuk operasi di kawasan sempadan utara Tel Aviv itu telah selesai. Komander sudah bersedia mengerahkan pasukan tentera bersama jentera ke barisan hadapan untuk misi pertahanan dan ofensif,” ujar IDF menerusi kenyataan di laman web rasmi mereka.

Kenyataan provokasi itu dikeluarkan selepas jet pejuang rejim Zionis membedil markas unit elit Radwan di bawah gerakan Hizbullah di kawasan Khiam yang terletak beberapa kilometer dari utara Bukit Golan diduduki Israel dan sebuah pusat perintah milik pejuang disokong Iran itu berhampiran Toura di timur laut bandar pesisir Tyre.

Terdahulu, IDF turut melancarkan serangan di Kawkaba berhampiran Khiam dan Meiss El Jabal di selatan Beirut sebagai respons terhadap roket yang dibedil ke Bukit Golan.

Susulan konflik yang semakin meningkat, Profesor Sains Politik di Universiti Tel Aviv, Emmanuel Navon berpendapat peperangan di utara Israel seakan-akan tidak dapat dielakkan.

Tetapi, pakar keselamatan di Tel Aviv, Omer Dostri berkata, perang darat tidak mungkin berlaku sehingga operasi sama di Gaza belum berakhir setelah IDF dikatakan sedang membuat persediaan untuk menggempur habis-habisan bahagian selatan wilayah terkepung itu.

Difahamkan, kali terakhir perang Hizbullah-Israel tercetus adalah pada 2006.

Pada Jumaat lalu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah menegaskan gerakan itu masih belum menggunakan 'senjata utama' dan mengulangi kenyataan bahawa mereka hanya akan menghentikan serangan apabila Perang Gaza berakhir.

Artikel Berkaitan:

IDF bagaimanapun semakin meningkatkan serangan ke atas sasaran Hizbullah kerana ia berasa terancam selepas pemimpin Teheran berikrar mahu bertindak balas selepas rejim Zionis membedil Kedutaan Iran di Damsyik yang meragut nyawa tujuh anggota termasuk dua komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada minggu lalu.

Menteri Pertahahan Israel, Yoav Gallant dengan angkuh menyatakan pasukan tentera mereka kononnya sudah membuat segala persediaan untuk memberi respons terhadap sebarang senario yang mungkin ditimbulkan Iran. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!