Genggam erat tangan ayah sebelum maut kemalangan

Pesara tentera, Kamizan dan isterinya maut dalam nahas dua kenderaan manakala dua anak mereka yang cedera menerima rawatam di HRPB, Ipoh. Foto ihsan pembaca
Pesara tentera, Kamizan dan isterinya maut dalam nahas dua kenderaan manakala dua anak mereka yang cedera menerima rawatam di HRPB, Ipoh. Foto ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Seorang bapa tidak menyangka genggaman erat anak dan menantunya yang mahu pulang beraya menjadi detik terakhir pertemuan sebelum terlibat dalam nahas di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik- Jeli di sini pada Ahad.

Mat Zainal Nordin, 66, berkata, khabar duka kemalangan melibatkan anak sulungnya, Noor Asmah, 38, dan suami, Kamizan Kasimon, 42, itu diterima selepas menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, pada hari kejadian, kedua-dua arwah menunjukkan perubahan yang membuatkan hatinya berasa tidak sedap.

"Sebelum mereka bergerak, saya sedang membersihkan kawasan rumah dan saya perhatikan kelakuan Kak Mah (Noor Asmah) lain, lebih pendiam tidak mahu sembang seperti kebiasaannya.

"Lain pula Kamizan, dia genggam erat tangan ketika bersalam dan berpeluk selain berulang kali mengucap kata minta maaf.

"Perasaan itu sudah terasa lain tetapi saya tidak mahu fikir lebih. Apabila sudah jadi begini, barulah tersedar rupa-rupanya itu petanda mereka meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Gerik pada Isnin.

Mat Zainal menunjukkan gambar keluarga anaknya itu yang terlibat dalam nahas di JRTB Gerik -Jeli pada Ahad.
Mat Zainal menunjukkan gambar keluarga anaknya itu yang terlibat dalam nahas di JRTB Gerik -Jeli pada Ahad.

Mat Zainal berkata, keluarga anaknya itu dalam perjalanan pulang beraya di Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

"Seolah-olah tidak percaya kerana mereka baru bergerak sekitar jam 10 pagi dan sepatutnya mereka pulang semula ke rumah di Kampung Laneh/Paya Lintah, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Jumaat ini.

"Mereka balik awal kerana pada Ahad anak lelaki saya pula akan melangsungkan perkahwinan di Teluk Intan. Asmah juga sempat menggubah wang hantaran untuk adiknya itu," katanya.

Tambah bapa kepada enam anak itu, kehilangan kedua insan tersayang itu sudah pasti merenggut keceriaan dalam menyambut lebaran tidak lama lagi.

Jenazah pasangan suami isteri terbabit nahas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.
Jenazah pasangan suami isteri terbabit nahas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.

"Dua hari terakhir Ramadan kami sudah sibuk membuat persiapan raya cuma kenduri kahwin anak tetap diteruskan tetapi tidaklah ceria kerana semua persiapan telah siap.

"Apa yang penting kini adalah keadaan cucu, Nur Arissa Sofia dan Muhammad Amar yang masih lagi menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh," katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.

Nahas sekitar jam 12.20 tengah hari itu berlaku selepas kereta dinaiki mangsa bersama dua anaknya berusia 10 dan tiga tahun melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang membawa enam sekeluarga.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang juga pemandu serta penumpang hadapan kereta mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!