Aidilfitri: Waspada cuaca panas elak strok haba

Abd Rahman (tengah) ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di hadapan Balai Polis Bukit Yong pada Isnin.
Abd Rahman (tengah) ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di hadapan Balai Polis Bukit Yong pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan meminta rakyat termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya waspada cuaca panas bagi mengelakkan kejadian strok haba berulang.

Timbalan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Abd Rahman Yunus berkata, rakyat seterusnya disaran untuk meminum lebih banyak air selain memakai pakaian yang selesa dan sesuai ketika kunjung-mengunjung pada hari raya.

“Jangan sesekali alpa terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, pastikan mereka tidak bermain atau terdedah secara terus atau pun berada dalam tempoh terlalu lama di bawah cuaca panas.

“Perlu meminum banyak air pada waktu siang hari semasa Aidilfitri bagi elak terkena strok haba sekali gus boleh membawa kematian,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di hadapan Balai Polis Bukit Yong, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria.

Menurut Abd Rahman, setakat ini, Kelantan kekal satu rekod kematian akibat strok haba yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada 1 April lalu.

“Kami tidak mahu perkara sama berulang dan meminta rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang pertambahan kes.

“Semoga cuaca panas ini tidak berterusan dan kami berharap akan hujan seperti di beberapa kawasan di daerah ini pagi tadi namun jumlahnya belum mencukupi untuk meredakan kepanasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga hari sebelum kematiannya, Muhamad Abil Qaiz Faizal Fazrin mengalami muntah-muntah ketika bermain di dalam kereta datuknya di Kampung Teluk, Bachok, jam 12 tengah hari sebelum tidak sedarkan diri.

Anak kembar itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, dan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!