Disiplin rahsia Fasha Sandha kekal relevan
[DIKEMAS KINI] BUKAN mudah buat mana-mana selebriti untuk berada di puncak dan mengekalkan populariti apatah lagi apabila usia bukan lagi muda.
Namun perkara itu tidak dilalui oleh aktres berdisiplin, Nur Fasha Sandha Hassan.
Masih diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam drama hebat, bintang yang baru menginjak ke usia 40 tahun itu juga terus mendapat kepercayaan sebagai duta kepada beberapa jenama terkenal.
Ditanya rahsianya untuk terus kekal relevan dan ‘disayangi‘ oleh orang sekeliling, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menyifatkan, setiap pelakon, penyanyi atau sesiapa sahaja harus menjaga disiplin dan komitmen.
“Apa yang penting jaga kerja, komitmen dan disiplin. Insya-ALLAH, ia akan membantu membawa kita terbang tinggi tidak kira apa pun yang berlaku.
“Selain itu, perlu juga jaga orang sekeliling, produksi. Bila kita jaga periuk nasi sendiri, insya-ALLAH tak akan ada yang mahu menjatuhkan,“ ujarnya.
Meskipun masih dihujani rezeki tawaran berlakon dan sebagai duta produk, jauh di sudut hati isteri pelakon Aidil Aziz itu, beliau mahu meluangkan lebih banyak masa keluarga.
Malah, Fasha juga merancang untuk menceburi bidang perniagaan, tetapi belum memutuskan dalam cabang yang mana.
“Naluri hati kecil saya nak luangkan lebih banyak masa bersama keluarga, kurangkan kesibukan di lokasi penggambaran.
“Saya juga ada perancangan ceburi bidang perniagaan. Cuma berniaga apa tak pasti. Namun, saya pasti akan lakukan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang dilakukan,” jelasnya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta Numee Gardenia di Shah Alam baru-baru ini.
Malah, walaupun sibuk dengan komitmen kerjaya termasuk penggambaran drama Khilaf Yang Tertulis, empunya diri mendedahkan masih tetap masuk dapur untuk menyediakan juadah baik berbuka mahupun bersahur buat keluarga tersayang.
Akuinya, walaupun bukan dilahirkan dalam dulang emas, namun beliau tetap mengutamakan kualiti setiap perkara termasuk makanan.
“Saya memang cerewet orangnya termasuklah bab makanan. Lebih-lebih lagi hidangan yang dimakan oleh suami dan anak-anak.
“Jadi saya lebih selesa untuk masak sendiri. Alhamdulillah, tempat penggambaran kali ini dekat dengan rumah, jadi sempatlah saya pulang ke rumah untuk memasak buat keluarga walaupun sibuk dengan penggambaran,” katanya yang sudah mula memasak sejak berusia 10 tahun lagi.
45 pasang baju raya
Sementara itu, berkongsi persiapan Syawal kali ini, Fasha akan pulang ke Rembau, Negeri Sembilan, iaitu kampung Aidil pada hari raya pertama dan kemudian ke kampung halamannya di Perlis.
Ditanya warna tema keluarga pada tahun ini, bintang Khilaf Asmara itu mendedahkan mendapat 45 pasang baju daripada Alfaro dan beberapa pereka fesyen ternama.
“Saya buat persiapan biasa tapi saya ada 45 pasang baju, ada yang sedondon dengan suami dan anak-anak, ada juga yang tak.
“Semua itu merupakan tajaan dan saya selaku duta Alfaro, ada yang diberi oleh pereka fesyen. Setakat ini masih belum tentukan warna apa, kita tunggu dan lihat,“ ujarnya yang akan bercuti selama seminggu sebelum kembali ke lokasi penggambaran.
Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya sebagai duta Numee Gardenia, tuan punya badan mengakui tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu memandangkan beliau pengguna setia jenama yang menghasilkan roti sejak sekolah rendah lagi.
Malah katanya, selepas melihat komitmen yang dilakukan, dirinya terus menyatakan persetujuan tanpa perlu mencuba produk itu seperti kebiasaan.
“Selalunya saya akan cuba dulu apa-apa produk yang ditawarkan sebelum bersetuju jadi duta. Tetapi dengan Gardenia, terus setuju dan insya-ALLAH akan masuk tahun kedua bersama mereka,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!