Eain Yow perlu tingkatkan kualiti permainan

Maniam. Foto Bernama
Maniam. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berharap pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow meningkatkan permainannya ke tahap lebih tinggi selepas berjaya merangkul gelaran Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sulungnya di Terbuka Jerman 2024 pada Ahad.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, penting bagi pemain ranking ke-22 dunia itu untuk terus meningkatkan prestasi dalam usaha mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

"Melangkah ke depan, saya harap Eain Yow akan mencari cara baharu untuk membawa permainannya ke tahap lebih tinggi dan saya rasa beliau sedang berusaha melakukannya," katanya.

Pemain pilihan keempat itu menewaskan pemain pilihan keenam dari Switzerland, Dimitri Steinmann, 12-10, 11-8, 10-12, 11-3 dalam aksi mendebarkan yang berlangsung selama 66 minit pada kejohanan Jelajah Dunia PSA peringkat Gangsa di Hamburg.

Maniam turut melahirkan rasa gembira dengan prestasi luar biasa Eain Yow pada aksi separuh akhir selepas pemain berusia 26 tahun itu melakukan kejutan dengan menumbangkan pilihan utama dari Wales, Joel Makin 13-11, 11-8, 6-11, 11-8, Sabtu lepas.

Menurutnya, kemenangan ke atas Makin itu amat bermakna memandangkan Eain Yow sebelum ini tewas dalam enam perlawanan berturut-turut kepada pemain itu.

"Makin seperti musuh ketatnya, pemain itu jauh lebih cergas dan kuat. Apabila kita lihat perlawanan antara kedua-dua mereka ini berkali-kali, kita akan tertanya-tanya adakah Eain Yow mampu mengatasinya.

"Bagaimanapun Eain Yow seorang pejuang dan selalu percaya dia boleh buat yang terbaik setiap kali bermain, jadi kekuatan mental seperti itulah yang menjadi penentu. Ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi ini kemenangan yang sungguh hebat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas ini pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dijadual beraksi pada Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna di Mesir dari 19 hingga 26 April ini.

Juara perseorangan lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 itu akan berdepan pemain ranking ke-48 dunia dari Mexico Cesar Salazar pada aksi pembukaan di Mesir.

Kejayaan Eain Yow di Hamburg itu melengkapkan aksi cemerlang skuasy negara selepas kemenangan sensasi pemain skuasy wanita S. Sivasangari yang muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London 2024, minggu lepas.

Pemain ranking ke-13 dunia berkenaan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada aksi final di Alexandra Palace, London.

Pencapaian luar biasa itu menjadikan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara Jelajah Dunia PSA bertaraf emas sejak kemenangan legenda skuasy negara Datuk Nicol David dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong 2015. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!