Polis Johor rampas 892 kasut guna logo mirip kalimah ALLAH

Kumar
Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor merampas 892 pasang kasut jenama Vern's di seluruh negeri ini susulan dakwaan logo mirip kalimah ALLAH pada bahagian tapaknya.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, semua rampasan itu dilakukan dalam operasi yang dijalankan di 10 buah cawangan kedai kasut berkenaan di seluruh negeri ini.

"Kita telah jalankan operasi di sepuluh 'outlet' kedai kasut berkenaan. Semuanya kita lakukan serentak semalam.

"Tindakan ini dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan. Hanya dua laporan polis berkaitan kes itu diterima sehingga kini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan sejumlah 1,145 kasut jenama Vern's telah dirampas, susulan dakwaan logo mirip kalimah ALLAH pada bahagian tapaknya.

Razarudin berkata, rampasan dibuat di empat negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur namun tiada tangkapan dibuat dan pihaknya telah menerima lapan laporan berhubung perkara itu.

Menurutnya lagi, Jabatan Siasatan Jenayah akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam siasatan, terutama bagi menentukan sama ada logo tersebut adalah khat atau hanya rekaan grafik kasut tumit tinggi.

Dakwaan logo pada tapak kasut keluaran Vern’s Holdings Sdn Bhd menyerupai kalimah Allah mula dibangkitkan di media sosial pada 23 Mac lalu namun ia menjadi tular selepas satu lagi video membuat dakwaan serupa, semalam.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu menjelaskan imej pada tapak kasut keluarannya telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Pada masa sama, syarikat itu mengakui kekurangan pada logo tersebut sehingga boleh disalah tafsir, dan maka memohon maaf dan telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta sedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!