Aidilfitri: Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama

Pengguna jalan raya menikmati tol percuma pada 8 dan 9 April yang membabitkan kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Gombak, pada Isnin. Foto Bernama
Pengguna jalan raya menikmati tol percuma pada 8 dan 9 April yang membabitkan kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Gombak, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 4 petang ini, ekoran pertambahan kenderaan menjelang perayaan Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

Beliau berkata, Lebuhraya PLUS dilaporkan sesak ke utara di Rawang menghala Sungai Buaya, Tapah menghala Gopeng, Juru menuju Perai dan Seberang Jaya ke Sungai Dua.

"Sementara arah Selatan sesak di Kempas menghala Pasir Gudang dan di LPT2, kesesakan dilaporkan berlaku di Plaza Tol Kuala Terengganu.

"Trafik juga sesak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Kota Kemuning menghala Hicom dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Puchong Jaya menuju Jalan PJS,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, trafik di kebanyakan lebuh raya lain masih terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!