'Tidak sempat beli baju raya anak' - Bapa

Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa selepas kejadian kemalangan membabitkan BMW dan lori di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin pada Isnin. Foto Bomba
Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa selepas kejadian kemalangan membabitkan BMW dan lori di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin pada Isnin. Foto Bomba
A
A
A

SEREMBAN - Hajat pasangan suami isteri untuk membeli pakaian raya buat empat anaknya tidak kesampaian apabila maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin di sini pada Isnin.

Mangsa Abdul Halim Mat Rani, 34 dan isterinya Noor Azeana Azreen Hasmadi, 32, rentung selepas kereta jenis BMW yang dinaikinya terbakar dalam kejadian jam 10.25 pagi.

Bapa mangsa, Hasmadi Ahmad, 56, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu ada menghubunginya semalam memaklumkan akan membeli pakaian raya anak-anaknya pada pagi ini.

"Kesemua anaknya ada di rumah di Seremban yang mana mereka dijangka beraya di Rembau tahun ini malah semasa kejadian itu mereka dalam perjalanan dari rumah dekat Beranang ke sini untuk mengambil anak-anaknya.

"Along ada juga berhajat nak ambil gambar bersama adik-beradiknya nanti tetapi tidak kesampaian juga," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada Isnin.

Pasukan bomba dan penyelamat memadam api pada kereta mangsa. Anggota bomba cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan BMW dan lori di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin pada Isnin. Foto Bomba
Pasukan bomba dan penyelamat memadam api pada kereta mangsa. Anggota bomba cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan BMW dan lori di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin pada Isnin. Foto Bomba

Pasangan itu yang bekerja sebagai mekanik dan pembantu kedai makan meninggalkan empat anak berusia antara 12 hingga tiga tahun.

Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta jenis BMW dinaiki pasangan suami isteri itu dari arah Mantin ke Seremban dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu oleh seorang lelaki umur 36 tahun.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden, Mat Ghani Lateh berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu kereta jenis BMW ingin memotong kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudiannya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori jenis Isuzu yang dipandu dari arah bertentangan hingga mengakibatkan kereta tersebut terbakar.

Ahli keluarga mangsa yang hadir di HTJS pada Isnin.
Ahli keluarga mangsa yang hadir di HTJS pada Isnin.

"Akibatnya, pemandu dan penumpang kereta yang tersepit di dalam kereta rentung dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan dan kepala.

"Kes ini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389 atau hubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198 bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!