Kes Covid-19 catat penurunan ketara pada ME 14/2024 - KKM
PUTRAJAYA - Jumlah kes Covid-19 menurun 97.1 peratus kepada 493 kes pada Minggu Epidemiologi ke-14 (ME 14/2024) iaitu bagi tempoh 31 Mac hingga 6 April lepas berbanding 17,256 kes pada ME 1/2024.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kes kematian Covid-19 juga menunjukkan penurunan yang ketara dari 32 kes pada ME 1/2024 kepada satu kes pada ME 14/2024 iaitu penurunan 95.5 peratus.
"Sejak Minggu Epidemiologi 1 tahun 2024 (ME 1/2024), jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan menunjukkan penurunan yang ketara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin mengenai situasi semasa Covid-19 di negara ini.
Beliau berkata, sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dengan subvariannya tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti.
"Walaupun situasi Covid-19 bertambah baik, virus Covid-19 akan terus berada bersama kita dan kita perlu berwaspada menghadapinya. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau situasi terkini Covid-19 di peringkat global dan di Malaysia.
"KKM mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi Covid-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (HAS) dan masih digunakan sehingga kini,” katanya.
Sempena Aidilfitri ini, Dr Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan serta mencegah jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak.
Langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu diamalkan untuk "hidup bersama Covid-19” dengan selamat adalah dengan kerap mencuci tangan dengan pensanitasi.
Selain itu, memakai pelitup muka terutamanya bagi yang berisiko tinggi mendapat jangkitan, atau individu yang bergejala, atau apabila berada di tempat tertutup atau sesak dan terus mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek) sekiranya bergejala.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan. Berhenti rehat seperti singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk mengurangkan stres. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!