Rasionalisasi Subsidi Bahan Api: Menuju keseimbangan kewangan, keadilan sosial

Rasionalisasi, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bantuan serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan benar-benar diterima serta dimanfaatkan 85 peratus rakyat Malaysia. - FOTO:123rf.com
Rasionalisasi, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bantuan serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan benar-benar diterima serta dimanfaatkan 85 peratus rakyat Malaysia. - FOTO:123rf.com
A
A
A

Bantuan berterusan kepada golongan miskin serta penggunaan subsidi oleh golongan kaya telah memberi tekanan kepada belanjawan negara.

Rasionalisasi subsidi menjadi perbincangan penting dalam konteks di antara menjaga keseimbangan belanjawan dan untuk memastikan keadilan sosial yang tepat pada masa.

Subsidi yang menjadi keperluan bagi pembuat dasar di Malaysia, turut menjadi instrumen alat politik yang signifikan, digunakan menambah serta memperkuatkan sokongan dalam proses demokrasi menerusi kertas undi pilihan raya.

Dalam Belanjawan 2024, Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil inisiatif memperkenalkan langkah-langkah mengurangkan subsidi bagi melegakan tekanan kewangan kerajaan dan pada masa sama memelihara kesejahteraan rakyat.

Meskipun berjaya mengurangkan peruntukan subsidi sebanyak 10 peratus, namun jumlah tanggungan subsidi kerajaan masih lagi tinggi, mencapai RM58 bilion.

Subsidi masih lagi menjadi antara komponen terbesar dalam perbelanjaan kerajaan dan negara.

Sebagai contoh, subsidi bahan api termasuk diesel dan petrol RON95 menerima peruntukan yang besar, menyumbang lebih dari separuh atau 53 peratus daripada jumlah RM90 bilion perbelanjaan subsidi kerajaan pada tahun 2022.

Dengan perbelanjaan subsidi sedemikian, kerajaan mampu menjadikan harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pada masa sama, harga rendah bahan api itu ‘menarik’ aktiviti-aktiviti penyeludupan yang jelasnya merugikan kerajaan serta rakyat Malaysia.

Selain bahan api, kerajaan turut menanggung subsidi bagi untuk barangan-barangan lain seperti ayam, telur, beras, minyak masak dan lain-lain bahan makanan termasuklah subsidi utiliti elektrik.

Langkah-langkah

SKDS 2.0 bagi sektor pengangkutan darat (Barangan) menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel termasuk menangani masalah ketirisan.
SKDS 2.0 bagi sektor pengangkutan darat (Barangan) menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel termasuk menangani masalah ketirisan.



Dalam merasionalisasi subsidi, kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah mengambil penyesuaian harga sebagai pendekatan dalam mengurangkan beban tanggungan.

Sebagai contoh, data rasmi harga pasaran diesel ialah RM3.43 seliter pada 24 Mac lalu. Bagaimanapun, pengguna membayar RM2.15, manakala sebahagian lagi iaitu RM1.28 ditanggung oleh kerajaan dalam bentuk subsidi.

Dianggarkan pada 2023, kerajaan membelanjakan kira-kira RM39 juta sehari hanya untuk subsidi diesel. Ia mencecah RM1.2 bilion sebulan atau RM14 bilion setahun.

Sementara itu, harga petrol RON95 pula masih lagi dikekalkan pada harga siling iaitu RM2.05 seliter meskipun harga sebenar melepasi paras terbabit.

Justeru, pendekatan penyesuaian harga ini bermakna kerajaan akan mengurangkan subsidi, menjadikan harga lebih tinggi daripada sebelumnya.

Sungguhpun begitu, langkah itu tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif apatah lagi dari soal keuntungan pengguna semata-mata tanpa memikirkan beban ditanggung kerajaan.

Sebaliknya, langkah sedemikian mampu mengurangkan penyeludupan bahan api dengan membuatnya kurang menguntungkan.

Sementara itu, dari satu sudut lain, penjimatan subsidi kerajaan itu mampu dialirkan untuk manfaat-manfaat lain kepada rakyat sama ada dalam bentuk bantuan tunai, insentif dan sebagainya.

Pengecualian dan perlindungan

Penting untuk diperhatikan bahawa dalam usaha rasionalisasi subsidi, pengecualian masih dibuat dan diberikan perhatian oleh kerajaan untuk golongan tertentu seperti pengusaha kenderaan komersial yang menerima subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Langkah seumpama ini bukan sahaja mengurangkan ketirisan, tetapi memastikan bahawa kenaikan harga diesel selepas rasionalisasi subsidi itu tidak memberi tekanan kepada harga barangan pengguna atau menyebabkan inflasi yang tinggi.

Sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri (Anwar) semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI di Felda Chuping, Perlis pada 1 April lalu, cadangan kerajaan melaksanakan kaedah penyasaran subsidi khusus adalah bagi memastikan bantuan itu diterima sepenuhnya 85 peratus rakyat negara ini.

Kaedah itu katanya juga bagi mengelak subsidi berkenaan disalah guna 15 peratus golongan teratas dan kira-kira empat juta warga asing yang tinggal di Malaysia.

"Subsidi minyak ini siapa yang dapat selain rakyat Malaysia? Seramai 3.5 juta hingga empat juta warga asing dapat subsidi minyak kerana kita bagi pada semua sehingga orang kaya negara juga dapat.

"Jadi kita kena cari jalan melalui kaedah penyasaran tertentu agar 85 peratus rakyat dapat subsidi dan tidak pada 15 peratus golongan kaya dan warga asing,” tegas Perdana Menteri yang benar-benar serius terhadap keperluan rasionalisasi subsidi.

Penjimatan dan manfaat

Pemansuhan atau rasionalisasi subsidi dapat menghasilkan penjimatan kewangan yang besar seterusnya dialihkan untuk memberikan bantuan tunai kepada golongan B40 yang memerlukan.

Subsidi yang disasarkan secara tepat juga dapat mengurangkan pembaziran dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Dengan pengurusan subsidi diesel yang lebih efisien dan digital, kerajaan mampu meningkatkan kecekapan serta menangani masalah penyeludupan.

Malah, ia menandakan langkah progresif dalam menangani isu kewangan negara sambil memastikan keadilan sosial bagi semua lapisan masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!