Lelaki cedera dipukul bekas kekasih teman wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki cedera di kepala dan seluruh anggota badan selepas diserang bekas kekasih teman wanitanya yang dipercayai cemburu melihat mereka bersama.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di Kuala Ibai kelmarin, mangsa, 32, bersama teman wanitanya, 20-an yang ketika itu sedang berjalan menuju kawasan parkir berhampiran dihampiri suspek.

Menurut sumber, suspek dikatakan terus menumbuk perut mangsa sebelum mangsa cuba mempertahankan diri tetapi gagal kerana dipegang oleh rakan suspek yang datang dari arah belakang.

"Mangsa meronta dan minta dilepaskan, namun suspek terus bertindak memukul seluruh badan mangsa bertubi-tubi dan meninggalkannya dalam keadaan lemah.

"Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati masuk ke dalam kereta. Dia kemudian memandu dengan laju dan cuba merempuh mangsa dan bekas teman wanitanya, tetapi mereka bernasib baik apabila sempat mengelak sebelum kenderaan suspek melanggar penghadang longkang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber itu memberitahu, bengang dengan insiden itu, suspek keluar dari keretanya lalu menuju ke arah mangsa dan memukul kepala mangsa dengan cota.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan seluruh anggota badan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, polis sedang mengesan lelaki tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera, menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!