'Tiket bas tak laku, ada bas hanya tiga penumpang'
TEMERLOH - "Tahun ini paling teruk apabila tiket bas ke beberapa destinasi utama masih belum habis terjual," dakwa ejen tiket, Bazruzaini Zam Abu Bakar, 48, ketika ditemui di Terminal Bas Temerloh di sini pada Isnin.
Menurutnya, situasi tersebut berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya menjelang perayaan Aidilfitri.
"Kalau dulu waktu begini memang tiket sudah habis, seminggu sebelum dan selepas Ramadan sudah boleh rehat tapi sekarang kena kerja keras untuk pastikan tiket terjual.
"Masalahnya sekarang tiket seperti ke Kota Bharu, Alor Setar, Kuantan pun masih ada, malah ada bas hanya tiga penumpang.
"Macam hari ini (Isnin) pun suasana di terminal pun sendu, memang kami sangat terjejas," katanya yang menjadi ejen tiket bas sejak 1993.
Tinjauan Sinar Harian ke terminal tersebut kira-kira jam 4 petang mendapati tidak ramai penumpang dan hanya boleh dikira dengan jari.
Seorang lagi ejen tiket, Arif Mohd Amin, 34, mengakui situasi tersebut yang menjejaskan mereka untuk mencari rezeki.
"Saya akui memang jualan tiket tahun ini agak sendu, perlahan dan macam saya destinasi dekat seperti ke Kuantan, Kuala Lumpur masih belum habis terjual berbanding dulu.
"Jualan tiket dalam talian juga memberikan kesan kepada ejen, boleh dikatakan 95 peratus orang sudah beli melalui cara tersebut berbanding ke kaunter macam dulu," jelasnya.
Sementara itu, seorang penumpang, Puteri Nazirah Abdullah, 25, turut terkejut melihat suasana sendu di terminal berkenaan.
"Tak ramai orang macam selalu dan saya turun ke sini sebelum menunggu bas lain pulang ke kampung di Bera selepas bergerak dari Pulau Pinang pagi tadi," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!