Gelandangan sukar keluar dari kitaran hidup

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Fauziah)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Fauziah)
A
A
A

SHAH ALAM - Segelintir gelandangan sulit untuk keluar daripada loop atau kitaran hidup yang sama dan berulang-ulang kerana didorong oleh faktor gangguan kesihatan mental serta kurang sokongan sosial.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, situasi dihadapi golongan berkenaan menimbulkan banyak isu sosial dan ekonomi yang kompleks.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu wujudkan pendekatan holistik untuk memahami akar kepada masalah tersebut di samping menyediakan kaedah sokongan yang sesuai.

“Ya, gelandangan sering kali terperangkap dalam loop yang mana mereka susah untuk keluar daripadanya.

“Faktor lain seperti sukar mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal juga boleh menyumbang kepada perasaan terjebak atau tidak mampu mencari jalan keluar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas mengenai gelandangan ‘beraya’ di ibu kota sehinggakan ada yang sudah 30 tahun hidup di bawah jambatan dan berpelesiran di kaki lima.

Fauziah turut memaklumkan, masyarakat boleh memainkan peranan dengan memberikan kata-kata semangat dan sokongan buat golongan yang berjiwa rapuh itu.

“Orang ramai juga boleh membantu dari segi memberikan peluang pekerjaan dan bantuan kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pendekatan bersepadu dari pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat secara keseluruhan juga penting untuk menuntaskan isu ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!