Akan berlakukah Pilpres ulang?
APA yang disebutkan sebagai “sidang gugatan keputusan pilihan raya presiden (pilpres) 2024” bermula pada 27 Mac dan berakhir pada 5 April yang baru lalu. Dua pasangan calon (paslon), Anis Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Prabowo-Mahfud MD mempertikai keputusan pilpres yang diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 20 Mac.
Berdasarkan pengumuman rasmi oleh KPU paslon Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka memperoleh 96,214,461 undi atau 58.6 peratus daripada jumlah undian. Anies-Muhaimin menduduki tempat kedua dengan perolehan 40,971,906 undi atau 24.9 peratus sementara Ganjar-Mahfud MD mendapat 27,040,878 undi atau 16.5 peratus.
Pada 14 Februari 2024 lepas, 164,227,475 dari sejumlah 204,807,222 rakyat Indonesia di seluruh dunia yang layak mengundi telah membuang undi. Di Indonesia mereka membuang undi di 820,161 tempat pembuangan suara (TPS) yang meliputi 84 wilayah pengundian di 38 provinsi, 514 kabupaten dan kota, 2,277 kecamatan dan 83,731 desa dan kelurahan. Indonesia adalah demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat (AS).
Sejak awal lagi pilpres 2024 sudah dijangka “bermasalah”. Anak Presiden Jokowi, Gibran, yang berusia 36 tahun tidak sepatutnya dicalonkan. Menurut undang-undang Indonesia calon presiden (capres) atau calon wakil presiden (cawapres) harus berusia 40 tahun.
Tetapi Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia yang diketuai Anwar Usman telah membenarkan Gibran sebagai cawapres. Anwar adalah bapa saudara Gibran. Akibat tindakan itu, Anwar dikatakan melanggar etika lalu dilucutkan jawatannya oleh Majlis Kehormat Mahkamah Konstitusi (MKMK).
Keputusan MK menyebabkan krisis perlembagaan yang luar biasa. Kalangan ilmuwan, anggota gerakan sivil, budayawan dan seniman serta pimpinan di institusi pengajian tinggi mula bersuara. Mereka rata-rata berpendapat bahawa ada yang tidak kena dalam cara sistem perundangan dilaksanakan.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) dituduh sengaja mahu membina dinastinya sendiri. Isu nepotisme yang menjadi salah satu musuh utama Reformasi 1998 kini mulai menonjol. Banyak pihak mahukan Jokowi “kembali pada koridor demokrasi.” Kalangan ilmuwan berpendapat tatakelola tidak lagi sesuai dengan semangat Reformasi. Hukum mula dipermainkan. Tidak ada lagi akauntabiliti dan suara rakyat ditekan.
Pilpres kali ini dikatakan paling tidak adil, paling curang, paling tercela dan paling brutal dalam sejarah Indonesia. Lebih-lebih lagi apabila berlaku campur tangan dari Jokowi sendiri.
Jokowi dari awal dikecam kerana meninggalkan parti yang mendukungnya sejak dari pencalonan beliau sebagai Walikota Solo, kemudiannya Gabenor Jakarta dan Presiden. Beliau mengetepikan Parti Demokrasi Indonesia- Perjuangan (PDI-P) bagi memenangkan Prabowo yang membawa anaknya sebagai cawapres.
Dalam sebuah dokumentari berjudul Dirty Vote arahan Dandhy Laksono, tertera bagaimana Jokowi dan kerajaannya menggunakan segala kemudahan pemerintah untuk memenangkan paslon tertentu.
Jadi tidak hairanlah apabila keputusan rasmi pipres diumumkan, dua paslon yang tewas menyuarakan bantahan. Bagi mereka ini bukan isu rumah sudah pahat berbunyi. Ini isu penanggungjawaban moral dan etika sebuah bangsa yang bangga.
Maka itu mereka mengajukan bantahan kepada MK. Mereka berpendapat selain pembabitan langsung Jokowi berkempen, salah satu faktor kemenangan paslon Prabowo-Gibran adalah penyaluran bantuan sosial (bansos) yang menyeluruh dan terbuka.
Kedua-dua paslon yang kalah membuktikan bahawa perolehan suara melalui tinjauan atau survey sewaktu masa berkempen menunjukkan bahawa perolehan suara Prabowi-Gibran “meroket” akibat penyaluran bansos. Bagi mereka ini adalah contoh nyata nepotisme di mana penggunaan jentera Kerajaan digunakan tanpa segan silu.
Jokowi sendiri mendakwa beliau boleh berkempen secara terbuka. Populariti Jokowi di kalangan rakyat digunakan seluas-luasnya. Malah salah satu ungkapan paling viral dalam pilpres kali ini adalah “cawe-cawe” yang bermaksud secara mudah, jadi pak sibuk atau busy body. Jokowi yang cawe-cawe dikatakan menjamin kemenangan pada calon-calon tertentu.
Sebagai contoh ditunjukkan bagaimana Jokowi dikatakan “turun” ke Jawa Tengah berkali-kali. Jawa Tengah adalah salah satu medan tempur utama, di mana terdapat lebih 30 juta pengundi. Ganjar pernah menjadi Gabenor Jawa Tengah tetapi dalam pilpres kali ini, beliau tewas di Jawa Tengah selain di Bali, satu lagi kubu kuat PDI-P.
Menurut dakwaan kedua-dua kumpulan pemohon, Amies Baswedan-Muhaimin dan Ganjar Mafdud MD, kecurangan pilpres kali ini, amat “berstruktur, sistematis dan masif.”
Salah seorang hakim MK dalam persidangan itu Arief Hidayat berkata ada tuduhan pipres kali ini “lebih hiruk-pikuk” selain tuduhan “Presiden berpihak” begitu lantang kedengaran.
Kali ini lapan orang hakim bersidang, sedangkan sepatutnya sembilan. Anwar yang telah dijatuhi kesalahan melanggar etika sebanyak dua kali tidak dibenarkan ikut bersidang. Ketua Hakim dalam kes gugatan ini adalah Suhartoyo, salah seorang daripada empat hakim yang memberikan dissenting view atau pandangan bertentangan dalam kes Gibran tahun lepas.
Seorang lagi hakim kali ini, satu-satunya wanita, Enny Nurbaningsih, walaupun bersetuju dengan penurunan usia dari 40 ke 36 tetapi mensyaratkan calon berkenaan harus memegang jabatan utama, sekurang-kurangnya Gabenor dan bukan Walikota seperti Gibran ketika itu.
Agak menarik dalam sidang ini beberapa orang hakim seperti Saldi Isra, Daniel Yusmic Pancastaki Foekh dan Arsul Sani turut menanyakan soalan pukulan maut kepada peguam pemohon, saksi, pakar serta wakil KPU, Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu) dan Dewan Kehormatan Penyelenggara Pemilu (DKPP).
Dalam sidang selama lapan hari itu orang menteri Kabinet Jokowi juga turut dipanggil. Mereka adalah Menteri Kewangan, Sri Muyani; Menteri Sosial, Tri Rismaharini; Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto dan Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.
Apakah yang akan berlaku selepas ini? Keputusan MK akan dibacakan pada 20 April ini. Apakah MK akan memihak pada pemohon atau mengekalkan keputusan pilpres 2024? Apakah akan berlaku pembatalan pilpres akibat kecurangan penyelenggaraannya?
*Tan Sri Johan Jaaffar berada di Indonesia sewaktu pemilihan umum (pemilu) 2024. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!