Harmoni hidup bergantung kesediaan memohon, memaafkan

Memaafkan merupakan satu kebajikan yang sering diamalkan oleh setiap budaya, agama dan kaum. Foto Pexels.com (Gambar kecil: Amir Farid)
Memaafkan merupakan satu kebajikan yang sering diamalkan oleh setiap budaya, agama dan kaum. Foto Pexels.com (Gambar kecil: Amir Farid)
A
A
A

SHAH ALAM - Keharmonian hidup bersama dalam masyarakat banyak bergantung kepada kesediaan individu untuk memohon dan memaafkan orang lain.

Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship (INSaF) dari Pure Life Society, Dr Amir Farid Isahak berkata, memaafkan merupakan satu kebajikan yang sering diamalkan oleh setiap budaya, agama dan kaum.

“Jika kita tidak bersedia untuk memaafkan orang lain, mungkin terdapat banyak perasaan buruk dalam komuniti kita.

“Kita menyaksikan banyak pertengkaran, pertelingkahan dan keganasan langsung antara individu serta kumpulan, malah ini menjadi pertikaian antara masyarakat dan seluruh negara seperti yang berlaku sekarang.

“Kita perlu mengingatkan satu sama lain dengan segera bahawa semua budaya, agama dan tradisi rohani kita mengajar kita untuk menjadi pemaaf,” katanya dalam reaksi kempen #MZB365.Mengulas lanjut, Amir Farid berkata, kempen ‘Maaf Zahir Batin 365’ menggambarkan pengampunan atas kesilapan tidak atau disengajakan dan untuk ketidakadilan terbuka serta tersembunyi yang dilakukan.

“Sepanjang hidup, kita mungkin telah menyakiti perasaan orang lain atau menyebabkan ketidakadilan kepada mereka, selalunya tanpa menyedarinya sendiri.

“Oleh itu, adalah baik untuk memohon pengampunan daripada semua orang yang melintasi jalan kita. Yang terbaik di antara kita juga akan memaafkan orang lain walaupun tanpa diminta.

“Diharap kempen #MZB365 akan berterusan untuk jangka masa panjang dan cepat tersebar ke seluruh negara serta lebih banyak organisasi menyokong inisiatif dengan menganjurkan aktiviti bagi menjayakan kempen ini, seterusnya menjadikan setiap rakyat Malaysia warganegara yang cintakan keamanan dan pemaaf,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!