Nadhir Nasar pacak khemah

Nadhir menyifatkan sambutan Aidilfitri hari pertama tidak ubah seperti kenduri kahwin.
Nadhir menyifatkan sambutan Aidilfitri hari pertama tidak ubah seperti kenduri kahwin.
A
A
A

SEJAK bergelar selebriti empat tahun lalu, bintang yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar mengakui sambutan lebaran buatnya sudah berbeza.

Selain berpeluang bertemu dengan sanak saudara jauh yang jarang berjumpa, jejaka berusia 27 tahun itu turut menerima kunjungan peminat pada hari raya pertama lagi.

Justeru, bagi memberi keselesaan kepada tetamu jauh dan dekat, Nadhir mendedahkan memasang dua buah khemah di halaman rumah.

“Lebaran tahun ini, seperti biasa saya akan bersama keluarga pulang ke kampung sebelah ibu di Kuala Kangsar. Saya akan berada di kampung lebih kurang seminggu dan balik ke kampung lebih awal atas sebab tertentu.

“Sejak jadi selebriti, memang sambutan hari raya sudah berbeza buat saya. Selain ada sahaja peminat yang datang beramai-ramai untuk berhari raya.

“Jadi bagi memberi keselesaan, saya pasang dua buah khemah. Cuma saya tidak uar-uarkan perkara itu di media sosial, yang tahu sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.


Nadhir seronok berjumpa saudara dan peminat pada sambutan Aidilfitri.
Nadhir seronok berjumpa saudara dan peminat pada sambutan Aidilfitri.

Tambah pelakon yang kini berjinak-jinak dalam dunia pengarahan itu, suasana perayaan buatnya tidak ubah seperti mengadakan kenduri kahwin dan Nadhir gembira menerima kunjungan sesiapa sahaja setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terkejut pada awalnya, bintang Projek High Council itu rasa terharu dengan sokongan yang diterima, terutama daripada orang kampung.

“Suasananya tidak ubah seperti kenduri, cuma hari pertama Syawal selalunya orang akan datang dengan busana baharu, jadi auranya berbeza.

“Bagi saya apa yang penting adalah keikhlasan untuk menyambut tetamu yang datang,” ujarnya yang tidak meletakkan bajet duit raya dan lebih mengutamakan menu makanan dan minuman bagi tetamu yang hadir.

Berkongsi kenangan menyambut Aidilfitri sebelum menjadi selebriti, pemilik nama sebenar, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu berkata, tidak banyak yang berubah termasuk rutinnya melihat penduduk di Kampung Talang bermain meriam.

“Sejak kecil lagi saya memang suka melihat penduduk bermain meriam di situ. Sejak empat tahun lalu pun, saya sudah mula menyertai mereka.

“Seronok sangat kerana momen itu hanya dapat dilalui pada musim perayaan sahaja. Malah ada ura-ura akan ada orang luar yang datang ke Kampung Talang untuk melihat penduduk di sana bermain meriam,” katanya yang menyukai gabungan lemang, gulai lemak ayam kampung dan daging dendeng sebagai menu utama Syawal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!