Foto 'rare' perkahwinan dihiasi kepulan asap gunung berapi
MANILA - Ancaman letusan gunung berapi tidak menghalang sepasang kekasih melangsungkan perkahwinan berhampiran Pulau Taal, Filipina Ahad lalu.
Lebih mengejutkan apabila tular foto rakaman dari majlis tersebut ketika berlakunya letusan gunung berapi di situ.
Jurugambar Randolf Evan memberitahu CNA, dia sedang membuat persediaan mengambil gambar saat pasangan itu bernikah kira-kira jam 2 petang.
"Ketika majlis sedang berlangsung, saya mula perasan kepulan asap di langit dan menyangkakan itu adalah kepulan asap dari gunung berapi Taal.
"Jarak gunung berapi itu kira-kira 20 kilometer dari lokasi majlis di Savanna Farm di Solange, bandar Alfonso," katanya yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai jurugambar perkahwinan.
Evan, 30, bimbang melihat suasana tersebut namun tugasnya perlu diselesaikan.
"Walaupun bimbang tetapi saya sentiasa berhubung dengan rakan-rakan di media sosial untuk mengetahui perkembangan semasa.
"Kami juga berbincang mengenai langkah keselamatan jika berlaku risiko tetapi majlis tetap berlangsung seperti dirancang," katanya.
Evan berkongsi hasil karyanya di Facebook hingga mendapat perhatian netizen.
Hasil pemerhatian, awan tebal kelihatan di saat pasangan itu memandang antara satu sama lain sambil tersenyum.
Rata-rata netizen kagum melihat hasil karya Evan dan menyifatkan gambar itu sungguh luar biasa.
Terdahulu, gunung berapi yang terletak 65 kilometer di selatan Manila itu dilaporkan telah kembali aktif dan mengeluarkan debu pada petang Ahad.
Kira-kira 8,000 mangsa dipindahkan ke 38 pusat pemindahan di wilayah Batangas dan Cavite susulan Gunung Berapi Taal terus memuntahkan asap tebal pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!