Malaysia perlu proaktif kemudi sosiopolitik di Myanmar - Saifuddin
SHAH ALAM - Malaysia perlu meneruskan hubungan baik dengan pihak Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) yang dipilih rakyat Myanmar sebelum rampasan kuasa dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) bagi menangani krisis yang semakin memuncak di negara itu.
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan seharusnya mengambil peranan lebih proaktif dalam mengemudi landskap sosiopolitik Myanmar dengan merebut setiap peluang untuk memupuk keamanan dan kestabilan.
Menurut beliau, usaha itu membolehkan Malaysia membentuk persekitaran aman dan inklusif dengan menggalakkan dialog berkesan selain melaksanakan penyelesaian berkekalan bagi meningkatkan demokrasi serantau.
"Memandangkan situasi di Myanmar semakin berkembang, persediaan proaktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 menjadi semakin penting.
"Malaysia bersama negara ASEAN dan masyarakat antarabangsa, mesti mengamalkan pendekatan pandang ke hadapan untuk mengemudi landskap politik dan sosial yang kompleks di Myanmar.
"Bukan sahaja menangani cabaran semasa tetapi merebut peluang untuk memupuk keamanan, kestabilan dan dialog inklusif di rantau ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebagai rekod pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar bertindak merampas kuasa, beberapa jam sebelum parlimen yang baharu dilantik bersidang buat kali pertama.
Junta telah melaksanakan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik antaranya dua aktivis prodemokrasi terkemuka manakala pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun atas tuduhan penipuan pilihan raya.
Dalam pada itu Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mahu kerajaan mendesak ASEAN menetapkan semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dengan rangka kerja yang mempunyai pengakhiran jelas terhadap rakyat Myanmar.
"Krisis yang semakin meruncing dan resolusi yang diluluskan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan pendirian bersatu negara lain terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di negara itu.
"Walaupun perhimpunan rakyat kedua selepas rampasan kuasa NUCC menyaksikan penyertaan Rohingya buat kali pertama, namun golongan itu masih dinafikan hak kewarganegaraan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!