Pan Borneo Sarawak Fasa 1 buka sepenuhnya suku kedua tahun ini

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak fasa satu bakal dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun ini. Foto Fail Bernama
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak fasa satu bakal dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun ini. Foto Fail Bernama
A
A
A

KUCHING - Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak fasa satu bakal dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini status kemajuan pembinaan projek berkenaan mencapai 99 peratus.

"LPB Sarawak fasa satu dijangka dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun ini kecuali seksyen Lambir (di dalam WPC 11) di Miri yang perlu direka bentuk semula dengan jangkaan siap pada 2026,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Pembinaan LPB Sarawak fasa satu sepanjang 786 kilometer (km) bermula dari Telok Melano hingga ke Miri.

Sementara itu, Nanta berkata, satu mesyuarat telah diadakan antara kementerian dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak semalam yang antara lain membincangkan isu penyelenggaraan jalan negeri dan jalan Persekutuan di Sarawak terutamanya melibatkan jajaran redline.

Beliau berkata, istilah redline membawa maksud laluan asal sedia ada yang dibina sebelum pembinaan LPB.

"Di Sarawak, jajaran redline ini melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri. Standard laluan redline ini yang dibina sebelum ini tidak sama seperti LPB dan kualiti di laluan redline ini perlu dinaik taraf.

"LPB Sarawak fasa satu melibatkan laluan sepanjang 786 km, namun terdapat jajaran jalan sepanjang 136.7km yang tidak terlibat dalam pembinaan LPB berkenaan dan kini berada dalam keadaan daif. Melalui mesyuarat itu, beberapa model penyelesaian telah dicadangkan dan semua cadangan berkenaan akan diteliti,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!