Lima anggota polis ditahan kes samun RM260,000

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima anggota polis antara tujuh individu ditahan dalam kejadian samun jam tangan dan wang tunai RM260,000 di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Razak, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki warga asing pada hari sama kejadian berlaku.

"Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah berjaya memberkas tiga lelaki pada jam 11.50 malam, Ahad.

"Hasil dari tangkapan pertama, kita menahan empat lelaki lagi yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan menyamar anggota polis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rusdi berkata, siasatan lanjut mendapati lima suspek merupakan anggota polis, seorang bekas anggota polis dan seorang orang awam berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun.

"Lima suspek ditahan reman selama empat hari bermula 8 April hingga 11 April ini, manakala dua lagi juga direman selama empat hari bermula hari ini hingga 12 April," katanya.

Rusdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 170 akta sama atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

"Kes ini masih berada dalam siasatan dan pihak polis ingin menegaskan bahawa tidak akan melindungi individu termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!