Wanita rugi lebih RM41,000 jadi mangsa penipuan kerja
SIBU - Seorang ejen syarikat penapis air kerugian RM41,870 setelah menjadi mangsa kes penipuan pekerjaan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, wanita berusia 20-an itu berminat mendapatkan kerja sambilan yang menawarkan komisen bagi setiap tugasan selepas terlihat iklan di laman Facebook menggunakan nama profil Sunshine Travel.
Beliau berkata, mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera di iklan itu untuk pertanyaan lanjut sebelum dia diarahkan masuk ke satu laman sesawang bagi tujuan pendaftaran dan memulakan tugas.
Menurutnya bagi tugasan pertama, mangsa telah menerima komisen RM100.
"Mangsa kemudian diberikan tugas membuat tempahan 10 hotel berlainan dan membuat pembayaran berjumlah RM41,870 bagi penugasan tersebut dengan 12 kali transaksi dari 2 hingga 3 April ke lima akaun bank tempatan yang berlainan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zulkipli berkata, setelah membuat pembayaran, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan semula pembayaran modal dan komisennya namun diberikan pelbagai alasan.
Katanya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!