Sambut Ramadan, Syawal ikut ketetapan negeri tempat tinggal - UAI
SHAH ALAM – Umat Islam wajib berpuasa dan berhari raya mengikut ketetapan yang dibuat di negeri tempat tinggal masing-masing.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan haram bagi umat Islam menyambut Ramadan dan Syawal mengikut ketetapan negeri bukan tempat tinggalnya.
Menurutnya, dalam sembahyang dan puasa, ketetapan dibuat mengikut negeri di mana seseorang itu tinggal.
“Kita duduk di Malaysia, Zuhurnya pukul 1.30 petang wajib kena pakai 1.30 Malaysia, jangan pakai New Zealand, New Zealand pukul 7 pagi Zuhur. Tak boleh mesti Malaysia punya.
“Kalau duduk di Malaysia, tengok anak bulan tak nampak tapi orang di Makkah nampak, Makkah kena puasa, kita haram puasa,” katanya menerusi video ceramah yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Selasa.
Azhar berkata, sabda Rasulullah SWT jelas mengatakan seseorang umat Islam boleh berpuasa jika negeri tempatnya nampak anak bulan.
“Makkah nampak (anak bulan), kita tak nampak. Kenapa kita tak nampak sebab awan mendung, kelabu kerana kabus, tidak cerah, langit gelap maka yang nampak di Makkah wajib puasa.
“Kalau di negeri kamu pula mendung tak nampak anak bulan, hendaklah kamu jangan puasa lagi, jadikan esok hari 30 Syaaban dan puasa pada hari lusa,” katanya
Jelasnya, sekiranya ada individu yang berkunjung ke negara yang telah menyambut Aidilfitri, maka wajib mereka berhari raya mengikut negara terbabit.
"Kalau kita sampai negara yang sudah berhari raya, kita masih 28 hari puasa, wajib kita berhari raya dan wajib tambah sehari puasa lepas Aidilfitri untuk mencukupkan 29 hari.
“Tetapi kalau kita sudah 30 hari berpuasa di Malaysia malam terbang ke Makkah esok orang berpuasa lagi, kita tak sah berpuasa kerana tidak ada puasa 31, wajib imsak pada 31 dan berhari raya ikut Arab Saudi,” katanya.
p>Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!