Shila Amzah, Ubai raya sederhana
SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini agak berbeza buat penyanyi berbakat besar, Shila Amzah. Selain kembali bergelar isteri, bintang berusia 33 tahun itu juga sedang sarat hamil anak keduanya.
Namun disebabkan faktor kehamilannya, Shila dan suaminya yang juga pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau lebih dikenali sebagai Ubai MZ akan menyambut lebaran di rumah.
Jelas Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah persiapan raya juga dibuat lebih awal bagi mengelakkan situasi yang tidak terjangka.
"Saya buat persiapan sebulan setengah sebelum puasa, seronok dapat buat persiapan tenang-tenang tanpa perlu bersesak-sesak dengan orang ramai.
"Disebabkan saya kini menghitung hari untuk bersalin, maka saya cakap dengan suami, kita hanya beraya di rumah arwah ibunya di Petaling Jaya dan tidak akan menziarahi sanak-saudara.
"Saudara mara suami ramai di Pahang, Kelantan serta Melaka tetapi disebabkan saya sudah sarat dan masih lagi alami alahan ketika menaiki kenderaan, maka nampaknya kalau ada yang ingin menyambut Aidilfitri dengan kami, perlu datang beraya di rumah arwah maknya," jelas Shila ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Shila, keluarga di sebelah suami juga sangat memahami keadaan dirinya dan dia sempat untuk menziarahi mereka ketika Aidilfitri tahun lalu.
"Saya rada ada hikmahnya walaupun saya masih lagi dalam fasa sedang mengenali saudara mara suami. Bagaimanapun tahun lalu saya sempat bertandang dan berkenalan.
"Cuma bila dah sarat mengandung, saya tak dapat berbuat demikian dan keluarga suami juga faham. Insya-ALLAH tahun depan pula.
"Tahun ini saya mahu menyambut lebaran secara ringkas dan tenang," katanya.
Ditanya bagaimana sambutan Aidilfitri bersama keluarganya sendiri, Shila berkata, dia belum ada sebarang perancangan khusus.
"Seandainya ada (peluang), tangan saya sentiasa terbuka. Cuma saya tak berani nak cakap," ujarnya ringkas.
Masak menu sahur, berbuka setiap hari
Sementara itu, berkongsi mengenai kehamilan anak keduanya, pelatun Memori Tercipta ini mendedahkan tidak dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan tahun ini.
Jelasnya, disebabkan tahap hemoglobin rendah, doktor tidak menyarankannya untuk berpuasa seperti kebiasaan.
"Sedih juga bila tidak dapat sama-sama suami berpuasa, tetapi di sudut lainnya, saya gembira kerana dapat bersama suami berpuasa untuk tahun yang pertama.
"Saya juga memasak setiap hari untuk menu sahur dan berbuka kerana tidak selera menikmati masakan orang lain.
"Alhamdulillah apa yang suami cadang nak masak, saya cuba tunaikan," katanya yang akan cuti berpantang selama dua bulan.
Sekadar info, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023.
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!