'Saya dah biasa raya seorang'
NILAI – Sejak kematian ibunya lebih 10 tahun lalu, sudah menjadi kebiasaan buat seorang lelaki warga emas di Kampung Sekolah, Lenggeng di sini untuk menyambut Aidilfitri seorang diri.
Bagi Mohd Khalid Hamzah,73, hari raya tiada beza dengan hari-hari lain, apatah pula dengan keadaan usianya yang sudah separuh senja.
Dia yang tidak pernah berkahwin bagaimanapun bersyukur kerana adik-beradiknya ada datang menjenguk, malah seorang daripadanya telah berpindah tinggal bersamanya sejak beberapa bulan lalu.
"Saya dah biasa raya seorang. Ketika bekerja sebagai chef di sebuah hotel di Kuala Lumpur dulu pun kadang-kadang saya beraya seorang juga kerana tak dapat cuti.
"Bagi saya raya ini sama saja dengan hari-hari lain. Tapi kalau adik-adik saya datang, saya gembira sangat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia memahami sekiranya adik-adiknya tidak dapat meraikan Syawal pertama bersama-sama kerana masing-masing telah pun berkeluarga.
Bagaimanapun katanya, ada ketikanya mereka akan datang pada malam raya untuk menghantar rendang dan lemang termasuk baju raya.
Sementara itu kata Mohd Khalid, keadaan kesihatannya tidak berapa baik sejak disahkan menghidap penyakit tibi Mac tahun lalu.
"Saya pun tak tahu macam mana saya boleh dijangkiti tibi, tapi ia disahkan oleh doktor selepas saya dapatkan rawatan kerana kerap batuk dan badan semakin kurus, sehingga hilang selera makan.
"Sekarang ini kuman itu dah tiada, tapi kesannya saya alami masalah semput yang agak teruk sekarang dan kadang-kadang nak bercakap lama pun tak boleh kerana cepat penat," katanya.
Malah ujarnya, dia juga perlu membuat rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar di sini, namun kerap tertinggal tarikh temu janji kerana tiada pengangkutan untuk ke sana.
Bagi menampung hidup, dia bergantung kepada duit simpanan yang ada serta ihsan adik- beradik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!